Berita

Bung Mokhtar ‘buang tabiat’ persoal pakaian Teresa di Parlimen

KUALA LUMPUR, 11 APR: Ahli Parlimen BN Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin ‘buang tabiat’ pada hari terakhir persidangan Parlimen hari ini apabila dengan tiba-tiba bangun mempersoal pakaian Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berbuat demikian ketika Dewan sedang membahaskan isu penyeludupan senjata api ke dalam negara.

“Skirt Seputeh sehingga paras lutut, saya boleh nampak lututnya, macam mana pakaian begini boleh dibenarkan?” katanya.

Beliau juga mendakwa baju yang dipakai Teresa tidak sesuai di Parlimen, kerana seperti baju-T biasa dan berwarna merah.

Tindakan pelik dan biadap itu membangkitkan kemarahan Teresa yang bangun dan berkata, “You tak ada kerja lain ke?” serta meminta Bung Mokhtar menarik balik kata-katanya itu.

Bung Mokhtar juga cuba membuatkan Teresa dihalau dari dewan dengan membangkitkan peraturan mesyuarat, namun tidak dilayan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Datuk Ismail Mohamed Said.

Bung sememangya dikenal sebagai Ahli Parlimen yang gemar mencetuskan kekecohan serta mengeluarkan kenyataan bersifat seksis ketika sesi perbahasan di Parlimen.

Pada 2007, ketika perbahasan tentang kebocoran bumbung Parlimen, beliau berkata, “Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga.”

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan Ahli Parlimen DAP Batu Gajah ketika itu, Fong Po Kuan, dan Ahli Parlimen wanita lain, sehingga beliau terpaksa memohon maaf. – Roketkini.com