Berita

DAP perjuang keadilan untuk semua, bukan pertikai Islam

KUALA LUMPUR, 14 APR: Semua Ahli Parlimen diseru menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjulang keluhurannya sebagai undang-undang tertinggi negara, selain tidak memusnahkan asas-asas pembinaan negara Malaysia.

Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu menghormati Perlembagaan yang tidak membenarkan pelaksanaan undang-undang seperti hudud.

“Isu pelaksanaan hukum hudud yang timbul semula baru-baru ini bukanlah bukanlah tentang perlawanan antara agama, sebaliknya adalah isu undang-undang dan keadilan.

“Setiap rakyat Malaysia berhak menyuarakan tentang undang-undang dan keadilan,” kata Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dua laporan berita di The Malaysian Insider, “DAP lobi 46 ahli Parlimen bukan Islam BN tentang hudud di Kelantan” dan Free Malaysia Today, “Hudud: DAP seeks support of BN MPs” yang telah menimbulkan kekeliruan kepada beberapa pihak.

Lim Eng dilaporkan mahu melobi ahli-ahli parlimen bukan Islam supaya bersama-sama menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Namun beliau menegaskan bahawa seruan beliau adalah kepada semua ahli parlimen, dan tidak dikhususkan kepada yang bukan Islam sahaja.

“Saya tidak bercakap bagi pihak DAP apabila menyebut tentang melobi Ahli Parlimen BN. Saya tidak mempunyai otoriti untuk berkata demikian,” jelasnya.

“Saya mengajak semua Ahli Parlimen – tanpa mengira kaum, agama dan gender – untuk bersama DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi.

“Saya yakin semua Ahli Parlimen menghayati prinsip Rukunegara dengan mendaulatkan undang-undang dan menjulang keluhuran perlembagaan,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, beliau tidak berniat untuk menggunakan sebarang hujah perkauman atau agama, apatah lagi menyeru Ahli Parlimen bukan Islam untuk menentang prinsip dan ajaran agama Islam.

“Saya turut mengajak supaya lebih banyak wacana boleh diadakan supaya semua pihak dapat memahami soal perbezaan sistem perundangan supaya tidak ada lagi salah faham dan kekeliruan tentang hal ini,” tambahnya.

Lim Eng turut memohon maaf jika timbul sebarang salah faham yang mungkin timbul serta mengecam mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan beliau dan menggunakannya untuk menimbulkan sebarang ketegangan kaum dan agama.

“Pendirian saya jelas, sepertimana pendirian pimpinan DAP dan Pakatan Rakyat sejak sekian lama,” tambah beliau.

DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud kerana ia bertentangan dengan asas-asas Perlembagaan Persekutuan. Hudud juga tidak termasuk di dalam dasar bersama Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut dipetik dalam laporan The Malaysian Insider sebagai berkata Pakatan Rakyat tetap tidak akan berganjak dengan pendiriannya mengenai isu hudud seperti yang dipersetujui melalui konsensus antara DAP-PAS-PKR sejak 2011.

Katanya lagi, pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat sedia ada kekal dan sudah dipersetujui semua pihak.

Dua hari lalu, Ahli Parlimen BN Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan bersedia melobi 87 Ahli Parlimen beragama Islam untuk menyokong usul rang undang-undang persendirian pelaksanaan hudud kerajaan negeri PAS Kelantan. – Roketkini.com