Berita

Berapa perbelanjaan untuk ‘percutian golf’ TPM?

GEORGE TOWN,14 APR: DAP mendesak Kementerian Pendidikan membentangkan maklumat terperinci berhubung ‘percutian golf’ atas nama lawatan kerja Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dubai 9 hingga 12 April lalu.

Ia berikutan maklum balas daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang gagal menjawab persoalan utama berhubung isu itu, kata Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan bersama, hari ini.

Antaranya, mereka mempersoalkan faedah daripada hubungan dua hala dengan negara lebih teruk tahap pendidikannya berbanding Malaysia.

“Apakah faedah hubungan dua hala dengan negara teluk yang kebanyakannya lebih teruk daripada kita dalam laporan Programme for International Students Assesment (PISA) 2013.

“Sementara kita berada di tangga 52, negara Asia Barat seperti Jordan dan Qatar di tangga 61 dan 63, manakala UAE tinggi sedikit pada kedudukan ke 48. Bukanlah kita sepatutnya wujudkan hubungan dengan negara berprestasi tinggi seperti Hong Kong, Finland atau Kanada?” soal mereka.

Mereka juga menggesa kerajaan mendedahkan perbelanjaan yang diperuntukkan bukan sahaja kepada Kementerian Pendidikan dan Pejabat Perdana Menteri, tetapi juga agensi lain yang terlibat.

“Rakyat berhak tahu perbelanjaan yang ditanggung kerajaan, bukan sahaja kepada kementerian, malah juga agensi yang terlibat seperti Talentcorp dan Tourism Malaysia, serta perbelanjaan untuk pesawat khas, penginapan mewah di Hotel Shangri-la dan lain-lain,” kata mereka.

Menurut dokumen yang dibocorkan pemberi maklumat yang dilampirkan bersama, perbelanjaan Muhyiddin, isterinya Puan Seri Norainee Abdul Rahman, dan pegawai pengiring ditanggung Pejabat TPM dan Kementerian Pendidikan.

Sebelum ini, mereka mendedahkan dokumen ‘lawatan kerja’ Muhyiddin yang hanya melibatkan tiga jam urusan rasmi mengenai soal pendidikan, sementara jadual lain dipenuhi kunjungan ke padang golf, makan malam dan acara peribadi lain.

Muhyiddin dalam kenyataan 10 April lalu menafikan hal itu dengan alasan kononnya dokumen itu hanyalah draf awal lawatan.

Beliau juga menyatakan acara golf dan makan malam ditanggung syarikat swasta, iaitu Ahmad Zaki Resources Bhd dan Eversendai Corporation.

Mengulas kenyataan itu, mereka menggesa Muhyiddin menyatakan kepentingan syarikat itu di Malaysia, serta jika ada syarikat lain yang turut terlibat.

“Demi prinsip ketelusan kepada kepentingan rakyat serta penggunaan dana awam, kami berharap semua persoalan ini akan dijawab,” kata mereka lagi. -Roketkini.com