Rencana

Belajar dari Jokowi – Muhammad Nazreen

Joko Widodo, atau nama popularnya Jokowi, mungkin sekarang adalah nama paling dikenali di Indonesia. Beliau hampir pasti menjadi capres (calon presiden) bagi Partai Demokrat Perjuangan (PDI-P) menjelang pilihanraya presiden yang bakal diadakan pada Julai 2014.

Jokowi dijangka berdepan dengan Prabowo Subianto, ketua umum parti Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA) menjelang pilihanraya Julai ini. Selain itu, Abu Rizal Bakrie (Golkar), Dahlan Iskan (Partai Demokrat), Anis Matta (Partai Keadilan Sejahtera) turut disebut-sebut sebagai calon presiden.

Prabowo bukan lawan politik calang-calang. Prabowo mempunyai kekuatan tersendiri, di samping menerima sokongan golongan peniaga kaya di Indonesia.

Prabowo juga memiliki aset kekayaan yang luar biasa – kemungkinan besar diperolehi semasa Soeharto memimpin Indonesia akibat hubungan baiknya dengan bekas presiden itu (beliau malah pernah menjadi menantu Soeharto). Penganalisis politik menjangkakan Jokowi berhadapan saingan yang sengit, berikutan keupayaan Prabowo untuk mendapatkan pengaruh golongan elit dengan mudah.

Kirilly Mackenzie, pemerhati politik Asia Tenggara, menyimpulkan bahawa pendekatan berbeza yang diusahakan oleh Jokowi memainkan peranan yang penting sama ada beliau dapat mengatasi kekuataan politik yang dimiliki Prabowo.

Keunikan Jokowi terserlah bukan sahaja pada namanya. Beliau bijak menawan hati kebanyakan rakyat Indonesia.

Ada yang kita boleh pelajari dari Jokowi. Dalam arus politik Malaysia yang semakin buntu dengan kepimpinan yang murni, barangkali politikus harus segera belajar bagaimana Jokowi membina namanya sebagai pemimpin yang berkaliber.

Perjalanan politik Jokowi

Sepanjang menjadi Gabenor Jakarta, iaitu semenjak tahun 2012, setelah menewaskan Fauzi Bowo, ramai pada mulanya curiga dengan cita-cita Jokowi. Sebelum menjadi gabenor Jakarta, Jokowi merupakan gabenor di salah satu wilayah terpenting di Jawa Barat, Solo.

Kepimpinannya sebelum ini sebagai Gabenor Solo, selama tujuh tahun, berjaya membawa perubahan yang besar kepada Solo. Kejayaan Jokowi mendapatkan pengiktirafan dari UNESCO ke atas Solo sebagai bandar warisan dunia pada Oktober 2008 menunjukkan kemampuan beliau untuk mentadbir dengan cemerlang.

Dalam tempoh hanya 7 tahun mentadbir Solo sebagai gabenor, atau ‘walikota’, Jokowi bersama Tri Rismaharini, selaku naib gabenor, berjaya memastikan Solo meraih pembangunan yang pesat dan seimbang.

Solo dijenamakan sebagai pusat kebudayaan Jawa di bawah slogan ‘The Spirit of Java’, sekaligus menarik jumlah pelancong ke Solo dalam kadar yang besar setiap tahun. Solo juga dijadikan pusat industri dengan pembinaan Solo Techno Park yang membantu dalam membangunkan projek skala besar kereta kebangsaan Indonesia Esemka. Kejayaan lain Jokowi termasuklah menganjurkan World Music Festival pada tahun 2007.

Demokrasi penyertaan

Kerjasama yang dibentuk Jokowi dengan tokoh tempatan, Basuki Tjahaja Purnama, atau nama gelarannya “Ahok”, dapat menyuntik nafas yang segar dalam mendepani cabaran perubahan di Indonesia. Kedua-dua tokoh ini memiliki perwatakan politik yang sederhana. Pada masa yang sama, mereka dilihat sebagai pemimpin yang tegar melawan korupsi, di ambang Indonesia menghadapi krisis rasuah yang amat teruk. Sifat mereka yang tegas dan berprinsip disenangi banyak pihak terutamanya di kalangan masyarakat miskin sekitar Jakarta.

Jokowi dan Ahok mengusahakan pendekatan politik yang bersifat ‘bottom-up’ atau dalam bahasa yang lain, demokrasi penyertaan. Bagi Jokowi, sistem politik yang baik adalah bagaimana masyarakat kebanyakan dapat terlibat secara langsung di dalam pembentukan dasar politik; samada di peringkat tempatan mahupun nasional.

Semasa menjadi Gabenor di Solo, beliau memperkenalkan budaya ‘blusukan’, di mana Jokowi sendiri akan melakukan kunjungan mengejut ke tempat-tempat awam bagi mendengar sendiri luahan masyarakat bawahan tentang dasar yang beliau bawa.

Budaya begini mungkin baru di Indonesia. Namun, kesungguhan Jokowi untuk mendengar keluhan dan masalah wajar dikagumi dan dijadikan contoh. Manakan tidak, sesetengah orang politik di Malaysia hanya bertemu rakyat di bawah apabila tarikh pilihanraya semakin hampir, kemudian hilang entah ke mana tanpa berita.

Gaya politiknya yang disifatkan sebagai ‘punye gaye’ (pasti boleh) menyebabkan ramai pihak cuba untuk berdampingan dengan dirinya. Dia digelar “Mr Fix-It”. Jokowi dianggap problem-solver berkaitan isu urus-bandar, pembangunan tempatan dan permasalahan politik.

Pernah suatu ketika, Jokowi menolak permintaan golongan pelabur supaya melonggarkan syarat perundangan yang membolehkan pelabur luar dapat mengelak daripada menggajikan pekerja tempatan dengan bayaran yang setimpal. Perlakuannya ini menyebabkan Jokowi dianggap sebagai seorang pemimpin yang mewakili golongan miskin. Jokowi rela kehilangan suntikan modal pelaburan yang besar dari membiarkan rakyat di bawah jagaannya ditindas oleh golongan kaya.

Ekonomi pro-rakyat

Penganalisis politik tempatan menganggap Jokowi lebih berminat untuk memajukan ekonomi domestik berbanding ekonomi korporat pada skala yang lebih besar. Pankaj Mishra, penulis yang popular dengan buku From The Ruins of Empire: The Revolt Against The West and Remaking of Asia dalam komentar politiknya yang disiarkan di portal Today Online, bertarikh 18 Januari 2014, menyebut Jokowi menggabungkan dua tema utama dalam gaya pemerintahannya.

Pertama, dia lebih selesa untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi yang melibatkan penjaja kecil-kecilan di warung-warung lokal berbanding perusahaan korporat gergasi. Jokowi lebih mengutamakan pembangunan industri kecil dan sederhana seperti pembuatan kraf tradisional supaya jenama tempatan dapat bersaing dengan produk-produk besar yang diimport, misalnya dari China dan India.

Kedua, Jokowi mengusulkan inisiatif untuk memperkukuh penggunaan kenderaan awam. Jakarta sangat dikenali dengan kesesakan lalu-lintas yang luar biasa. Pada masa yang sama, purata penggunaan kenderaan peribadi amat tinggi di kota Jakarta, terutamanya menjelang waktu-waktu kritikal. Jokowi melihat bahawa masalah sebenar Jakarta adalah kerana pembangunan yang terlalu bertumpu di kawasan pusat.

Oleh kerana itu, Jokowi sedang mengusahakan pembinaan monorel pertama di Indonesia dan projek pembinaan parkir di kawasan satelit sekitar Jakarta, supaya keadaan trafik di Jakarta lebih terkawal semasa waktu puncak. Usaha ini mendapat sambutan yang amat baik dan sedang berjalan lancar ketika ini.

Di dalam satu insiden menjelang sambutan Krismas tahun 2011, perbadanan yang mengurus pembekalan elektrik, iaitu Perusahaan Listrik Negara (PLN) di Solo, telah memotong bekalan elektrik kerana kegagalan kerajaan tempatan untuk membayar bil tertunggak berjumlah hampir USD1 juta.

Jokowi segera berkunjung ke pejabat PLN. Jokowi berpandangan PLN wajar mengambilkira keperluan masyarakat awam sebelum melunaskan sesuatu tindakan. Tindakan PLN memotong bekalan elektrik disifatkannya sebagai ‘melampau’.

Semasa kunjungan itu, Jokowi segera menerima publisiti daripada pihak media dengan membayar hutang tertunggak itu dalam bentuk wang syiling sebanyak ratusan guni. Peristiwa ini menyebabkan beliau dijulang sebagai pembela rakyat yang sejati.

Personaliti menarik

Pemimpin politik di Malaysia harus mengkaji banyak tentang perwatakan Jokowi. Langkah Jokowi supaya menjadi pemimpin yang disegani adalah menggalakkan penyertaan rakyat ke dalam pemerintahan dan pengurusan ekonomi yang berkebajikan.

Perwatakannya yang ‘down-to-earth’ menyebabkan Jokowi dikatakan sudah memenangi pilihanraya sekalipun belum mencalonkan nama untuk merebut kerusi presiden. Jokowi langsung tidak petah untuk berbicara dalam bahasa Inggeris apatah lagi mempunyai rupa paras yang tampan.

Namun, gerakan yang direncanakan Jokowi untuk membantu mengurangkan kesusahan rakyat menyebabkan beliau dijulang sebagai wira.

Indonesia berhadapan politik baru. Ternyata, Jokowi adalah calon yang disebut akan menang sebelum bertanding.