Berita

Air lombong tidak cukup untuk tampung bekalan

KUALA LUMPUR, 28 APR: Kerajaaan Selangor perlu menjalankan semua langkah yang sepatutnya untuk menambah bekalan air mentah dalam menghadapi kemarau panjang yang bakal melanda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin berkata, ada keperluan yang cukup mendesak untuk meningkatkan bekalan air memandangkan musim kemarau diramal berlaku selama 90 hingga 120 hari pada tahun ini.

“Salah satu masalah terbesar kita ketika musim kemarau adalah kekurangan air di Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus air untuk Lembah Klang. Setakat hari ini, empangan yang menyimpan air dari sungai itu – Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi – hanya ada bekalan untuk 54 hari (dengan jangkaan penggunaan kira-kira 3 juta kubik meter sehari)

“Satu-satunya rancangan luar jangka yang sudah dipastikan setakat ini adalah penggunaan sembilan lombong sebagai bekalan air tambahan. Namun kapasiti keseluruhan semua lombong itu adalah 21 juta kubik meter – bersamaan bekalan untuk tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Bermula 1 Mac lalu, kerajaan negeri sudah mula mengepam air daripada lombong ke Sungai Selangor bagi disalurkan ke pusat rawatan air.

Setakat hari ini, jumlah takungan air di Empangan Sungai Selangor adalah 92.19 juta kubik meter dan di Empangan Sungai Tinggi pula 71.67 juta kubik meter.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri agar bersedia untuk melaksanakan rancangan luar jangka yang diumumkan sebelum ini, iaitu pengambilan air bawah tanah dan pembenihan awan menggunakan teknologi Thailand yang disebut sebagai ‘Teknologi pembuatan hujan diraja’.

Memetik laporan The Edge 22 April lalu, kerajaan negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menghubungi kerajaan Thailand bagi mendapatkan teknologi itu, yang dapat menghasilkan hujan tiga kali seminggu.

“Pengesahan segera diperlukan dengan Thailand tentang tarikh pembenihan awan dapat dijalankan. Lokasi akuifer (bahagian bawah tanah yang mengandungi air) juga perlu dipastikan beserta prasarana yang diperlukan untuk mengambilnya.

“Selain itu, saya yakin kerajaan negeri perlu dengan serius mempertimbangkan untuk mengepam lebihan air hujan di sungai ke dalam empangan dalam tempoh 3-5 minggu ini, sementara hujan masih turun dengan banyak.

“Saya menggesa kerajaan mengambil semua langkah yang sepatutnya dan menjadikan catuan air sebagai pilihan terakhir dalam menghadapi masalah ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan situasi semasa, pelan luar jangka sedia ada sudah memadai, tanpa perlu mengambil air dari bawah tanah.

Khalid juga mengumumkan, catuan air yang berlangsung lebih sebulan di negeri itu dijangka berakhir hujung bulan ini. – Roketkini.com