Berita

Dasar BN sebenarnya menyusahkan masyarakat Cina

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa dasar Barisan Nasional (BN) telah berjaya membantu kejayaan masyarakat Cina adalah tidak benar dan hanya mimpi di siang hari.

Mengulas dakwaan Najib itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, ia bukan hanya menyimpang dari kebenaran malah merupakan cubaan untuk meremehkan kerja keras masyarakat Cina untuk berjaya dalam keadaan serba tidak adil di bawah pentadbiran BN.

“Najib jelas sekali bermimpi apabila menyatakan salah satu contoh kejayaan BN itu adalah pendidikan masyarakat Cina yang semakin baik.

“Beliau seharusnya tahu, bahawa hingga ke saat ini, banyak masalah yang telah lama dihadapi dalam pendidikan masyarakat Cina tidak diselesaikan.

“Dengan peruntukan tidak adil, kekurangan sekolah dan guru-guru. Isu ini sudah lama dihadapi sekolah-sekolah rendah Cina serta sudah berulang kali dibangkitkan pimpinan pembangkang, kumpulan dan komuniti Cina. Namun tidak diselesaikan kerajaan walaupun sudah memegang kuasa selama beberapa dekad,” katanya dalam satu kenyataan.

Teresa yang juga Ahli Parlimen DAP Seputeh menegaskan, sehingga hari ini pengurusan sekolah-sekolah Cina terpaksa membelanjakan wang mereka sendiri untuk mengambil guru-guru sementara akibat kekurangan guru.

“Bukan lagi satu rahsia bahawa faktor utama yang menyebabkan aliran keluar begitu ramai masyarakat Cina ke luar negara adalah berpunca dari kebimbangan mereka tentang kekurangan peluang pendidikan adil di institusi pengajian tinggi. Bolehkah Najib menafikan hal ini?

“Jika Najib komited kepada konsep 1Malaysia, beliau harus menghapuskan dasar perkauman supaya dapat membantu mengukuhkan semangat kekitaan di kalangan semua rakyat dan menjalin perpaduan tulen di kalangan semua kaum.

Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Perpaduan MCA di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, 3 Mei lalu mendakwa dasar adil BN bukan sekadar berjaya membantu kejayaan, malah telah menjaga keamanan dan keharmonian yang membolehkan masyarakat Cina semakin berkembang.

Pengerusi BN itu turut menyatakan tidak ada mana-mana negara selain China dan Taiwan yang memberi tempat kepada pendidikan Cina sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan. -Roketkini.com