Rencana

Hudud: Talian hayat kepada PAS… atau? – Steven Sim

Hari ini merupakan ulangtahun pertama 505 Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), yang menandakan penggal kedua ketiga-tiga parti pembangkang, DAP, PKR dan PAS bergembleng tenaga di bawah panji Pakatan Rakyat untuk menjadi pencabar paling kuat terhadap rejim Barisan Nasional dalam sejarah politik tanah air sejak Merdeka.

52% rakyat Malaysia pelbagai kaum, telah memilih Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional sebagai kerajaan pusat. Namun melalui strategi persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak adil (“gerrymandering”) dan taktik-taktik lain, Barisan Nasional masih dapat mengekalkan kuasa pemerintahannya. Walau bagaimanapun, kemenangan Barisan Nasional boleh disifatkan sebagai menang tetapi parah.

BN sudah parah, parti komponen tinggal nyawa-nyawa ikan

UMNO, parti yang eksklusif Melayu, memang 88 kerusi di Parlimen, kebanyakannya kerusi di kawasan pedalaman, kubu kuat parti tersebut. Rakan kongsi UMNO yang paling besar, MCA, parti eksklusif Cina menghadapi kekalahan yang teruk, hanya berjaya mengekalkan tujuh (7) kerusi berbanding 15 kerusi dalam PRU12 pada 2008 dan 31 kerusi dalam PRU11 pada 2004. MIC, satu lagi rakan kongsi UMNO, parti eksklusif India hanya menang 4 kerusi, kurang daripada separuh kerusi yang dimenangi parti tersebut pada 2004.

Menang tetapi parah, Barisan Nasional, terutamanya MCA dan MIC, tinggal nyawa-nyawa ikan.

UMNO kini berada dalam keadaan “Catch-22”. Dalam parti tersebut, ada pemimpin yang cuba menyeru kembali kepada nasionalisme inklusif yang didokong oleh Dato’ Oon Jaafar di mana semua rakyat Malaysia mestilah maju bersama-sama dan untuk maju bersama, kerajaan mestilah terbuka dan adil kepada semua. Namun di satu pihak lagi, kereputan UMNO disebabkan oleh korupsi, kronisme dan perkauman hanya boleh digambarkan dengan ayat bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohammad: busuk hingga ke usus”.

UMNO terperangkap dalam retorik sendiri; ia kini tidak boleh bergerak ke kiri mahupun ke kanan.

Dan UMNO tidak lagi boleh bergantung kepada MCA yang dahulunya membawa sokongan Cina kepadanya. MCA dilihat sebagai mengkhianati kepercayaan masyarakat Tiong Hua; daripada kesetiaan parti tersebut kepada seorang Presiden yang rosak moralnya sehinggalah peranan MCA sebagai “macai” kepada segala korupsi dan salahguna kuasa UMNO, MCA kini tersungkur di bawah berat dosa mereka sendiri. Kehadiran MCA dilihat tidak lebih daripada sebagai untuk “cukupkan syarat orang Cina” lalu menghalalkan segala agenda kuasa UMNO. Prestasi MCA pada tahun 2008 dan 2013 jelas menunjukkan bahawa MCA tidak lagi mampu menyelamatkan diri sendiri, jauh lagi daripada menyelamatkan UMNO.

Pakatan Rakyat pendukung impian Malaysia

Sebaliknya, Pakatan Rakyat dengan seruan “Ubah” dan prinsip bersama iaitu, “keadilan untuk semua” telah menawan imaginasi rakyat Malaysia yang impikan perubahan setelah lebih separuh abad di bawah pemerintahan rejim yang dicemari assabiyah, korupsi dan salahguna kuasa.

Pulau Pinang dan Selangor terutamanya telah menjadi model masa depan Malaysia tanpa UMNO – urus tadbir baik, tiada rasuah, persekitaran bersih, Cekap, Akauntabel, Telus, pengurusan kewangan yang berhemah, peningkatan kualiti perkhidmatan awam, pembangunan ekonomi yang menguntungkan rakyat dan bukannya kroni dan senarainya berterusan. Masalah negara kita bukan tiada undang-undang, masalahnya ialah tiada penguatkuasaan undang-undang dengan adil dan baik oleh pemerintah sekarang.

PAS pula, setelah bertahun-tahun digambarkan oleh UMNO dan anteknya MCA, sebagai parti Taliban, parti potong tangan, parti ekstrimis kini berjaya memecahkan imej palsu tersebut dengan membentangkan visi indah Islam dalam konsep “Negara Berkebajikan” serta slogan-slogan seperti “PAS untuk semua”.

Tapi yang paling penting, Pakatan Rakyat telah menunjukkan bahawa negara kita yang berbilang kaum dan agama mampu hidup dengan harmoni. Kepelbagaian budaya ialah kekuatan, dan bukan kelemahan kita. Melayu jumpa dengan Cina, perkara pertama bukan nak pancung kepala, tapi nak salam. Cina jumpa India, perkara pertama bukan nak pukul, tapi nak berkenalan. Ini selaras dengan konsep lita-a’a’rafu yang disebut dalam Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat ke-13. Impian Malaysia ialah sebuah negara yang meraikan kemajmukan, bagaikan songket yang disulam dengan sutera pelbagai warna bukan sahaja menjadikan ia fabrik yang kuat tetapi cantik dan indah.

Musim silih berganti, isu lama tetap menanti

Namun, dalam dunia politik seminggu sudahpun merupakan masa yang lama. Inikan pula setahun.

Baru-baru ini, PAS Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Yaakob, pengganti kepada Tok Guru Nik Aziz yang kita semua sayangi, telah menarik perhatian seluruh negara dengan membangkitkan kembali isu perlaksanaan Hudud di negeri tersebut.

Sesetengah penganalisa politik berpendapat ini strategi politik untuk membuka talian hayat kepada PAS Kelantan. Setelah lebih dua dekad mentadbir negeri tersebut, ditambah dengan persaraan Tok Guru Nik Aziz dan tanpa sebarang idea politik baru yang memberangsangkan, maka PAS khuatir akan kehilangan Kelantan pada PRU yang akan datang. Justeru, topik lama Hudud dijadikan talian hayat baru.

UMNO sudah tentu lompat menyambar peluang baik ini. Hampir serta merta, pemimpin UMNO mula berkelakuan dan bertutur samar-samar, segan silu, tolak sedikit, tarik sedikit, sebiji semacam orang yang nak meminang. Gambaran UMNO nak pinang PAS sudah menjadi satu kiasan biasa dalam percakapan politik negara. Ianya membayangkan PAS sebagai anak gadis sunti yang naif, dan UMNO pula lelaki licik yang sering tercari-cari peluang untuk mengorat.

UMNO Kelantan kata mereka sokong laksana “Hudud” di negeri tersebut. Pemimpin UMNO di peringkat pusat mengalu-alukan Ahli Parlimen PAS membawa usul persendirian dalam Dewan Rakyat yang akan datang. Perdana Menteri yang selalunya kurang berkata-kata pun bagi komen samar-samar menyokong hudud. Tak cukup dengan itu, Menteri Agama pula tubuh jawatankuasa teknikal “Hudud” peringkat pusat.

“Kali ini mungkin UMNO ikhlas”, ada pemimpin PAS yang berpendapat. Ini talian hayat kepada PAS Kelantan.

Tapi, di sebalik UMNO buat drama Bollywood mengorat PAS, rakan kongsi UMNO, MCA pun sudah mula buat kerja.

MCA kembali dari kubur!

Pelbagai program propaganda sedang dirancang dan dilaksanakan di kalangan masyarakat bukan Islam, terutamanya orang Cina. Kumpulan propaganda “bakul sayur” sudahpun bergerak di pasar-pasar pagi. Politikus-politikus MCA yang ramai sudah “tutup kedai” sejak PRU ke-13 pada 2013 (ada yang lebih lama, sejak PRU ke-12 pada tahun 2008) kini bersemangat kembali. Pemuda MCA seluruh negara giat lancar kempen tandatangan, ada pula jadi hero ugut nak guna tubuh badan sendiri bentuk benteng manusia di Parlimen konon nak halang Ahli Parlimen PAS untuk masuk membentangkan usul persendirian Hudud. Cybertrooper MCA berkobar-kobar, sudah punya isu baru untuk bantai. Penyokong tegar MCA yang sejak 2008 malu nak keluar rumah kini mula cari teman ngobrol di kedai-kedai kopi.

MCA yang tinggal “nyawa-nyawa ikan” kini semacam kembali dari mati!

Rupa-rupanya, UMNO bukan buka talian hayat kepada PAS, tetapi buka talian hayat kepada kawan baiknya, MCA.

Kesimpulan

Hudud ialah perkara agama dan rata-rata masyarakat bukan Islam menghormatinya. Namun dalam keadaan kurang pemahaman, termasuk di kalangan orang Islam sendiri, ditambahkan pula isu ini dipolitikkan oleh musuh, maka menjadi tanda tanya sama ada ini masa yang sesuai untuk kita membawa isu ini ke hadapan.

Keadaan yang kita hadapi sekarang digambarkan dengan tepat oleh Dato Dr. Mohd. Asri, bekas Mufti Perlis, “dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan Hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.”

*Ditulis pada 5 Mei 2014, setahun selepas kejayaan bersama DAP-PKR-PAS mematahkan hegemoni UMNO-BN dalam PRU ke-013.

Steven Sim Chee Keong ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY Malaysia. – Roketkini.com