Berita

Adakah Perdana Menteri merestui puak ekstremis?

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Datuk Seri Najib Razak perlu menyatakan pendirian sebenarnya, sama ada beliau memang seorang yang mendokong kesederhanaan ataupun ekstremis yang merestui penyebaran kebencian antara kaum dan agama kebelakangan ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan hari ini menyifatkan sikap berdiam diri Perdana Menteri sebagai petanda bahawa beliau membenarkan tindakan pihak yang menyebarkan kebencian dan pembohongan yang mencetuskan perselisihan antara rakyat.

“Kenapa Najib biarkan tindakan menyebar kebencian yang boleh memecahbelahkan negara? Kekebalan pihak ini daripada undang-undang di sebuah negara yang rakyatnya daripada pelbagai kaum dan agama adalah sangat mengejutkan,” katanya.

Mengulas kenyataan terbaru Presiden Ikatan Muslimin Malaysia Abdullah Zaik Abd Rahman yang menyifatkan masyarakat Cina yang berhijrah ke Malaysia sebelum merdeka bersekongkol dengan penjajah British untuk menindas orang Melayu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan bahawa negara tidak pernah menyaksikan usaha memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum dan agama seteruk hari ini.

“Selepas lebih empat dekad, tidak pernah kepelbagaian kaum dan agama rakyat Malaysia diperlekeh dengan begitu tidak bertanggungjawab.

“Ia menunjukkan dua gerakan bertentangan di bawah pemerintahan Najib, iaitu Gerakan Kesederhanaan Global yang baik untuk imej negara, dan ‘Gerakan Ekstremis Kaum dan Agama’ yang bebas menyebarkan kebencian,” katanya lagi.

“Maka Najib perlu jelaskan pendirian sama ada beliau seorang moderat atau ekstremis, sama ada beliau memperjuangkan atau menentang dasar 1Malaysia,” tegasnya lagi.

Beliau juga membidas tindakan kerajaan yang mendakwa Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim di bawah Akta Hasutan 1948, ekoran video satira politik Onederful Malaysia yang hanya mengkritik kegagalan dasar kerajaan.

“Ironinya, pada hari yang sama, kita menyaksikan perkataan paling menghasut (daripada ISMA) seperti mana yang diterbitkan media-media,” ujarnya. – Roketkini.com