Berita

Cina penceroboh: DAP kecam keras kenyataan ISMA

GEORGE TOWN, 7 MEI – DAP mengecam keras kenyataan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang menyifatkan kaum Cina di Malaysia sebagai pendatang dan penceroboh selain menganggap penghijrahan mereka sebagai suatu kesilapan yang mesti diperbetulkan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan beliau berkata, bahasa yang digunakan ISMA tidak jauh beza dengan ancaman yang diterima umat Islam Rohingya yang ditindas di Myanmar.

“Kenyataan yang begitu berbelit dengan dusta oleh ISMA adalah tidak banyak beza dengan bahasa yang digunakan terhadap minoriti Muslim Rohingya,” ujar beliau.

“Jelas sekali pembohongan ISMA penuh niat menghasut di bawah Seksyen 3(1) Akta Hasutan dengan menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng juga turut mengecam sikap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak pilih bulu dengan melaksanakan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin DAP menggunakan Akta Hasutan.

Beliau mengulas pertuduhan terhadap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok ekoran video Onederful Malaysia yang diterbitkan semasa Tahun Baru Cina awal tahun ini yang didakwa mengandungi unsur hasutan.

“Ini adalah satu pembohongan melampau yang dilawan oleh Teresa untuk membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah terutamanya setelah Kementerian Dalam Negeri sendiri mengakui pada bulan Mac lalu bahawa video beliau tidak menghina Perdana Menteri,” ulas Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menggesa Peguam Negara meletakkan jawatan lantaran salahguna kuasa dan sikap pilih bulu dalam hal mengambil tindakan terhadap kumpulan-kumpulan pelampau kaum dan agama yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang jelas berbaur hasutan.

Beliau turut menambah bahawa ISMA tidak patut sekadar disiasat di bawah Akta Hasutan, tetapi seharusnya turut didakwa.

“Ibrahim Ali pun disiasat di bawah Akta Hasutan dalam hal membakar Bible, tetapi tiada tindakan diambil terhadapnya (selepas siasatan),” katanya ketika dihubungi.

Semalam Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman dilaporkan berkata bahawa orang Cina yang datang ke Malaya merupakan penceroboh, selain mempersoalkan kewarganegaraan serta kekayaan yang mereka perolehi dan mengatakan bahawa kesilapan tersebut mesti diperbetulkan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut bagaimana perkara yang dianggapnya sebagai kesilapan itu mesti diperbetulkan. – Roketkini.com