Berita

ISMA: Siasat sahaja tidak cukup, Perdana Menteri mesti campurtangan

KUALA LUMPUR, 7 MEI: DAP Kuala Lumpur hari ini mendesak polis untuk mengambil tindakan segera ke atas kenyataan jahat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengenai masyarakat Cina semalam.

Dalam laman web rasmi badan itu, Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman menuduh orang Cina bersekongkol dengan penjajah British bagi membuli masyarakat Melayu ketika era sebelum merdeka.

Mengutuk keras kenyataan itu, Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng menggesa polis menyiasat segera tindakan Abdullah yang cuba mencetuskan perselisihan antara kaum di Malaysia.

“Kita minta polis siasat segera kenyataan itu di bawah Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana akta yang berkaitan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi tadi.

DAP Kuala Lumpur membuat sepuluh laporan polis secara berasingan, antaranya oleh Penolong Setiausaha Organisasi Ng Wei Keong, Ketua Pemuda Brian Lew Chee Kwan dan setiausaha Organisasi Pemuda Alice Lan Suet Ling.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) DAP Kampung Tunku Lau Weng San berkata, polis tidak boleh lagi berdiam diri dengan ISMA yang sudah banyak kali membuat kenyataan yang boleh mencetuskan permusuhan.

“Ini bukan kali pertama ISMA mengeluarkan kenyataan sebegitu. Polis tidak lagi boleh berdiam diri seperti sebelumnya. Apatah lagi selepas (Ahli Parlimen DAP Seputeh) Teresa Kok didakwa di bawah Akta Hasutan semalam.

“Polis perlu berlaku adil kerana tindakan ISMA ini ternyata jauh lebih melampau,” tegasnya yang turut membuat laporan berhubung kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Abdullah malah menyifatkan penghijrahan masyarakat Cina ke negara ini sebagai satu ‘kesilapan’ dan perlu dibetulkan.

Adun DAP Kinrara Ng Sze Han pula berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri perlu campurtangan memandangkan cubaan mencetuskan perselisihan antara kaum semakin menjadi-jadi.

“Saya menyeru Perdana Menteri agar bertindak segera dan berlaku adil. Beliau tidak lagi boleh berdiam diri seperti biasa di saat keharmonian masyarakat semakin memburuk,” katanya.

Selain DAP Kuala Lumpur, turut membuat laporan polis hari ini adalah DAP Ipoh, Rasah dan Sibu, manakala bahagian lain dijangka menyusul kemudian. – Roketkini.com