Rencana

ISMA dan puak anti-Muslim Myanmar – Dyana Sofya

Kenyataan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman pada 6 Mei yang menyifatkan kedatangan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British satu ketika dahulu sebagai satu bentuk pencerobohan adalah satu kenyataan yang dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Beliau sempat juga menuduh bahawa British bersekongkol dengan Cina untuk menindas dan membuli orang Melayu.

Sebagai seorang ustaz yang pandai dalam ilmu agama, beliau seharusnya tidak mendiskriminasi kaum lain malah patut menegakkan keamananan dan toleransi di antara kaum dan agama.

Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan berniat untuk menimbulkan perasan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Apakah niat sebenar ISMA ini dan mengapa mereka setiap minggu mereka cuba mengeluarkan kenyataaan- kenyataan yang secara terang-terangan berniat untuk mengkucar-kacirkan keamanan dan keharmonian berbilang bangsa dan kaum di Malaysia?

Saya juga ingin bertanya kepada beliau, apakah maksud beliau mengatakan “Ini merupakan satu kesilapan orang Melayu terdahulu yang harus diperbetulkan.”

Kenyataannya itu bersifat ugutan kepada orang Cina dan seruan kepada orang Melayu untuk mengapa-apakan kaum Cina yang kononnya penceroboh di negara ini.

Kata-kata beliau dan kenyataan yang dikeluarkan oleh ISMA sejak kebelakangan ini mirip dengan kenyataan Ashin Wirathu, seorang sami Buddhist dari kuil Masoeyein dan ketua 969 Movement yang menyalahkan kaum Muslim Rohingya atas konflik keganasan di Myanmar.

Di samping itu, kaum Rohingya juga dituduh mencuri tanah dan menghabiskan sumber negara tersebut.

Ashin Wirathu juga berkata beliau mahu melindungi Myanmar dari penjajahan Islam; bahawa kaum Rohingya bukannya kumpulan etnik; dan bahawa mereka bukan warganegara Myanmar, malah hanya pendatang asing tanpa izin di tanah air tersebut.

Ashin berhujah bahawa kaum Rakhine sudah terlalu pemurah dengan membenarkan kaum Rohingya tinggal di tanah Myanmar.

Kenyataan beliau itu dikecam hebat oleh seluruh komuniti dunia.

Tidakkah kenyataan Ashin Wirathi dari Myanmar ini seakan-akan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ISMA sejak kebelakangan ini?

Kita sibuk melihat ketidakadilan yang berlaku di negara luar, sedangkan ia juga berlaku di tanah air kita sendiri.

Di saat kita sedang bekerja keras untuk mengekalkan keamanan, menguatkan toleransi dan mempromosi keharmonian di kalangan rakyat Malaysia, hadir pula gangguan sebegini yang cuba merosakkan niat murni dan usaha rakyat Malaysia yang lain. Hairannya, belum ada satu pun tindakan dikenakan kepada mereka oleh pihak berkuasa. Adakah pihak-pihak berkuasa yang terlibat ini nyenyak dibuai mimpi?

ISMA ini adalah dalang sebenar untuk mengganggu ketenteraman awam dengan kenyataan tidak berasas setiap minggu dalam usaha mereka untuk menyebarkan kebencian dan menjarakkan lagi jurang perkauman di negara ini.

Mereka jugalah yang membawa isu kain rentang Hari Easter anjuran sebuah gereja hanya kerana ia ditulis dalam Bahasa Melayu, walhal Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan seperti tertulis dalam Perlembagaan, Artikel 152(1).

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa negara ini dibina di atas tapak yang berasaskan kesederhanaan, keharmonian, kebersamaan dan kebersatuan. Kita sepatutnya mengukuhkan lagi struktur itu ke arah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tidak akan terpengaruh dengan cubaan untuk terus terperosok di takuk kebencian, ketakutan, saling tidak mempercayai satu sama lain yang cuba disemai oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tersendiri dan nyatanya tidak memberi kebaikan kepada kita rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya cintakan negara dengan menolak sebarang bentuk diskriminasi kaum dan agama yang tidak pernah membawa kebaikan kepada sesiapa pun. – Roketkini.com