Rencana

Thomas Piketty: Hero baru dunia ekonomi – Muhammad Nazreen

Thomas Piketty adalah ahli ekonomi yang disebut-sebut ketika ini. Cendekiawan kelahiran Perancis itu mula mendapat tumpuan seluruh dunia setelah menulis buku ‘Capital For The 21st Century’. Buku ini dianggap sebagai hasil dapatan yang paling serius dan komprehensif untuk memahami kapitalisme dan krisis ekonomi dunia.

Akhbar-akhbar terkemuka dunia daripada New York Times hingga The Guardian, The New Yorker hingga Der Spiegel berulang-ulang memberi ruang dan komentar tentang Piketty.

Dia disambut gemilang oleh golongan kiri. Ada yang mengangkat Piketty sebaris tokoh ekonomi penting dunia seperti John Maynard Keynes dan John Kenneth Gailbraith.

Bagaimanapun, kajian Piketty boleh dikatakan inklusif ideologi. Dia menyebut bahawa ‘inequality’ bukan lagi tentang soal kiri dan kanan. Piketty juga terpengaruh dengan hasil kerja pemikir liberal seperti John Rawls dan pada masa yang sama mengembangkan teori ‘orang kiri’ yang sentiasa benci pada pasaran.

Apa istimewanya Piketty? Kenapa dia dianggap jelmaan semula Marx dan Keynes?

Kebanyakan peminat Piketty menganggapnya sebagai ‘lebai google’ dalam bidang ekonomi. Piketty bukan sembang kosong tentang idealisme tanpa bukti yang utuh.

Kajiannya terhadap peningkatan ketidaksamarataan ekonomi seluruh dunia dilampirkan dengan kajian dan data yang lengkap. Mesejnya mudah: kesan asasi daripada sistem kapitalisme adalah peningkatan ketidaksamarataan ekonomi (rising inequality).

Tumpuan kajian Piketty adalah terhadap kekayaaan dan ketidaksamarataan. Menurut ringkasan yang dimuatkan Amazon.com, dapatan yang dikemukakan oleh Piketty bakal mencetuskan debat baru tentang masalah kapitalisme mutakhir ini.

Kita menanti, mungkin dapatan Piketty ini akan melahirkan debat penting seperti debat John Maynard Keynes dan FA Hayek tentang ‘buih ekonomi’ dan bakal menjawab kemelut ekonomi dunia dalam beberapa abad akan datang.

Bagi Piketty, penyumbang utama masalah ‘inequality’ adalah pulangan modal kepada golongan kapitalis yang melebihi pertumbuhan ekonomi. Masalah ini seperti sudah dijawab oleh kebanyakan ahli ekonomi disebabkan oleh golongan kaya terus-menerus memonopoli hasil kekayaan, manakala golongan miskin terus ditindas dengan keadaan sistem ekonomi yang tak adil.

Ringkasan The Capital for 21st Century dalam Amazon.com menyebut:

The main driver of inequality – the tendency of returns on capital to exceed the rate of economic growth – today threatens to generate extreme inequalities that stir discontent and undermine democratic values. But economic trends are not acts of God. Political action has curbed dangerous inequalities in the past, Piketty says, and may do so again.

Eh, Siapa Marx?

Capital for the 21st century kini menjadi fenomena seluruh dunia. Satu komentar di portal akhbar The Guardian menganggap buku ini sebagai Fifty Shades of Grey dalam kajian ekonomi.

Buku tersebut sudah mencecah jualan sehingga 200,000 cetak walaupun hanya mula dipasarkan pada 10 Mac 2014. Lupakan sahaja tentang bestseller list dan sebagainya. Piketty sudah dianggap sebagai penulis buku ekonomi yang paling berjaya dan disebut-sebut ramai orang.

Bagi penganalisa ekonomi seperti Joseph Stiglitz dan Paul Krugman yang sering menulis di New York Times, Piketty adalah ilham baru yang menjadi cita-cita ahli ekonomi. Dia digelar rockstar. Malah, Piketty diberi julukan sebagai orang yang menyanggah kesahihan orang kiri tentang kebenaran Marxisme dan Das Kapital.

Dalam satu temubual yang dimuatkan dalam portal The New Republic, Piketty menyebut bahawa dia tidak pernah menganggap Karl Marx penting untuk memahami ekonomi.

Peliknya, dia disambut oleh penganut-penganut kiri dan sosialis sebagai wira baru mendepani kapitalisme.

Piketty langsung menyebut, “aku tak peduli siapa Karl Marx, walaupun dia dianggap besar – bukunya tidak melampirkan bukti-bukti empirikal untuk menyokong dakwaan beliau.”

Sekalipun Piketty bersikap sinis terhadap Marx, dia setuju tentang satu perkara. Marx ada persamaan dengan dirinya yang percaya bahawa free market capitalism menyebabkan kesenjangan ekonomi. Sistem pasaran harus ada batas dan kawalan supaya jangan orang kaya bertambah kaya, orang miskin bertambah miskin.