Berita

Setahun berlalu, apa perkembangan kes pembunuhan pegawai tertinggi kastam?

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ahli Parlimen DAP menggesa polis memaklumkan status terbaru siasatan kes pembunuhan pegawai tertinggi kastam yang menggemparkan negara tahun lalu yang disyaki berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

Pada 26 April 2013, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Dalam laporan The Malaysian Insider 24 Ogos lalu, anak kepada Shaharuddin, Mohd Akhtar, meluahkan kekecewaan ekoran kegagalan polis untuk memberikan maklumat terbaru, empat bulan selepas kejadian itu.

Ahli Parlimen DAP Serdang Ong Kian Ming mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menunaikan komitmen untuk menyiasat dan menyelesaikan kes itu.

“Selepas kejadian itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dilaporkan berkata, mereka ‘tidak boleh menerima pembunuhan itu apabila pegawai penguatkuasa menjadi mangsa’ dan ‘ia seakan mencabar pihak berkuasa’.

“Namun lebih setahun kemudian, masih tiada maklumat terbaru berhubung siasatan,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim pagi tadi.

Menurut laporan itu lagi, Mohd Akhtar mendedahkan, bapanya pernah membuat aduan berhubung penyelewengan kuasa pegawai kastam berhubung sindiket penyeludupan kereka serta diancam ditukar jabatan, sebulan sebelum beliau dibunuh.

Sehubungan itu, mereka mendesak polis menyiasat kes itu dengan bersungguh-sungguh bagi menunaikan tekad yang telah dinyatakan oleh KPN, apatah lagi selepas timbul dakwaan ia didalangi pihak yang tidak senang dengan komitmen Shaharuddin membanteras jenayah.

“Maka, saya menggesa KPN sekarang, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk bertanggungjawab ke atas keluarga arwah, dengan menyiasat betul-betul serta memberikan makluman dari semasa ke semasa kepada keluarga,”

“Jangan menafikan keadilan kepada keluarga pegawai ‘Mr Clean’ itu,” katanya lagi. – Roketkini.com