Berita

ADUN DAP Tanjung Bungah tarik semula usul tubuh jawatankuasa transgender

GEORGE TOWN 10 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tanjung Bungah Teh Yee Cheu hari ini telah menarik balik usul peribadi beliau di DUN Pulau Pinang untuk menubuhkan Jawatankuasa Transgender di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, keputusan Teh itu telah dibuat atas permintaan Ahli-Ahli DUN dan Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang dalam mesyuarat di Komtar, jam 2 petang tadi.

“Teh sedar bahawa untuk usul ini dibahaskan, beliau perlukan seorang penyokong. Akan tetapi tidak seorang pun ADUN PR Pulau Pinang yang bersedia menyokong beliau.

“Melalui penarikan balik usul, maka isu ini telah selesai. Teh juga telah akur kepada keputusan sebulat suara pucuk pimpinan dan wakil rakyat DAP Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengecam tindakan media massa yang memutarbelitkan isu ini dengan mengkritik pendirian negeri dan DAP.

“Isu ini juga telah diperalatkan oleh media massa dikuasai BN untuk mengkritik pendirian DAP, walhal ia bukan pendirian parti tetapi hanya pandangan peribadi seorang ADUN.

“Saya telah menyatakan bahawa saya akan berusaha untuk meminta Teh ‘kembali ke pangkal jalan’ untuk bekerja secara berpasukan bersama pimpinan DAP lain. Malangnya ia langsung tidak disiarkan dalam media massa BN,” katanya.

Teh sebelum ini mengemukakan usul peribadi di DUN Pulau Pinang untuk menubuhkan Jawatankuasa Transgender dengan peruntukan sebanyak RM200 ribu bagi membantu dan membela golongan transgender.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu adalah bertujuan supaya rakyat Pulau Pinang dapat memahami berkenaan kehidupan golongan transgender yang sering terpinggir serta didiskriminasi. -Roketkini.com