Berita

Jangan jadikan ISMA mangsa Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 10 MEI: DAP sebagai parti yang berprinsip menentang sebarang usaha untuk menyiasat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di bawah Akta Hasutan 1948 ekoran kenyataan malampau NGO itu.

Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng berkata, tiada sesiapa yang patut menjadi mangsa akta zalim warisan penjajahan British itu sama ada tokoh pembangkang mahu pun yang condong kepada pemerintah, termasuk ISMA.

“ISMA berjaya menarik perhatian umum dan mengambil alih tugas Perkasa dan golongan ultra-perkauman dalam Umno dengan melabel warganegara dengan pelbagai gelaran tidak sepatutnya, malah mendustai sejarah demi politik.

“Namun, tidak wajar untuk ISMA disiasat Akta Hasutan 1948, akta zalim penjajah untuk membungkam kebebasan bersuara dan menindas lawan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman sekali lagi mengeluarkan kenyataan melampau dengan mendakwa masyarakat Cina yang berhijrah ke negara ini sebelum merdeka sebagai ‘penceroboh’.

Tuduhan tidak berasas itu dikecam pelbagai pihak.

Pada 7 Mei lalu, Ketua Polis Negara mengesahkan polis sedang menyiasat Abdullah di bawah Akta Hasutan 1948.

Justeru, katanya lagi, DAP selaku parti yang sekian lama menentang akta itu mengutuk usaha untuk menyiasat ISMA di bawahnya, sebaliknya menggesa pihak berkuasa menggunakan peruntukan Kanun Keseksaan sedia ada.

“Peruntukan Kanun Keseksaan sudah lebih dari mencukupi untuk mengambil tindakan wajar terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan menggugat perpaduan rakyat

“Biarlah aksi politik ISMA yang barangkali diarah tuan politik mereka untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu penting seperti keselamatan negara dan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diadili undang-undang yang tidak menindas dan drakonian,” katanya lagi.

DAP sememangnya konsisten mendesak akta itu dimansuhkan kerana sering menjadi senjata utama kerajaan Umno BN, selain Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), untuk mematikan penentangan pembangkang dan aktivis masyarakat.

Antara mangsa akta itu adalah bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, aktivis Hishamuddin Rais dan terbaru, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim. – Roketkini.com