Rencana

Negara dijadikan tebusan, di mana Najib? – Charles Santiago

Akhirnya polis membuat siasatan ke atas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman. Akhirnya.

Beliau sudah menyembur cukup banyak bisa untuk meracuni fikiran setiap rakyat Malaysia sepanjang beberapa bulan ini, namun baru kini polis mengambil tindakan terhadap seruannya agar orang Melayu ‘membetulkan kesalahan masa lalu’ berhubung penghijrahan masyarakat Cina ke negara ini.

Menurut teori menyimpang Abdullah Zaik, leluhur masyarakat Cina Malaysia adalah penceroboh yang bersubahat dengan British untuk menindas orang Melayu.

Dan beliau juga tidak mahu memohon maaf. Beliau percaya apa yang dikatakan itu adalah fakta. Saya jadi bengong membaca kenyataannya itu.

Orang seusia saya telah belajar untuk mengabaikan kejahilan yang dipamerkan orang di sekeliling. Namun sukar untuk mendiamkan diri ketika membaca kenyataan seperti itu. Ia memberi kesan serius kepada Malaysia yang didiami oleh pelbagai kaum dan agama. Hal ini telah saya tekankan berkali-kali.

Tidak jelas muslihat apa yang terpendam dalam otak Abdullah Zaik ketika beliau menggesa untuk ‘membetulkan kesalahan sejarah, namun ia membuatkan saya merasa seram.

Jelas, Malaysia kini di persimpangan. Politik yang mempergunakan agama untuk mengukuhkan kuasa, mampu meruntuhkan sepenuhnya struktur masyarakat.

Masyarakat kita kini tidak lagi mampu membincangkan secara beradab isu-isu penting yang memberi kesan terhadap setiap seorang rakyat Malaysia, seperti hudud dan salah-guna kuasa oleh elit pemerintah serta agensi-agensinya.

Sememangnya sesetengah orang atau pertubuhan besar suka memuntahkan kata-kata yang bersifat mengapi-apikan, seperti yang telah dilakukan oleh Abdullah Zaik.

Bebelan beliau menyentuh soal kaum dan agama, serta selalu menghina masyarakat bukan-Melayu. Namun polis tidak pula pergi mengetuk pintu rumahnya. Sebaliknya, polis lebih sibuk mencari-cari ayat-ayat menghasut dalam dialog sebuah satira politik.

Kegagalan pihak polis untuk mengambil tindakan secara saksama menandakan bahawa sesiapa yang memiliki ‘kabel’ politik boleh membuat kenyataan tidak bertanggungjawab dan terlepas.

Kenyataan Ibrahim Ali, komen daripada beberapa menteri kabinet, dan rencana pengarang Utusan Malaysia adalah contoh paling nyata.

Sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terus membisu berhubung isu-isu mendesak, seperti dakwaan adanya 12 pelajar UiTM yang dipaksa memeluk Islam, meningkatnya sentimen anti-Kristian, kecenderungan ultra-ortodoks yang dilihat pada pengharaman buku kebelakangan ini, keinginan berterusan untuk mengawal kehidupan harian orang Melayu, dan peningkatan penindasan terhadap komuniti LGBT hanya akan mempercepatkan kemunduran Malaysia.

Namun, Datuk Seri, saya tahu anda tidak akan bersuara, memandangkan kedudukan anda dalam parti sendiri kini goyah dan anda perlu menagih sokongan daripada unsur konservatif dalam Umno.

Maka saya akan ambil kesempatan di sini untuk memberitahu anda bahawa ketagihan kuasa serta tindakan mempergunakan kaum dan agama untuk mengekalkan kuasa, akan memberi kesan meluas dan membawa musibah besar kepada negara dan rakyat.

Natijahnya nanti akan membinasakan kita semua.

Abdullah Zaik, pesanan ini ditujukan kepada anda juga. – Roketkini.com

*Penulis adalah Ahli Parlimen DAP Klang.