Berita

Sejambak bunga untuk ibu mengiringi perjuangan Ramkarpal

GEORGE TOWN, 10 MEI – Sejambak bunga untuk ibu, itulah simbol kasih sayang seorang anak yang bakal menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan ayahnya.

Pengumuman anak ketiga tokoh DAP mendiang Karpal Singh, Ramkarpal, sebagai calon pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor kebetulan bertepatan dengan hari lahir ibunya, Gurmit Kaur, selain hari ibu yang jatuh pada esok hari.

Ram menyerahkan jambangan bunga tersebut kepada ibunya sejurus selepas berucap dalam majlis pengumuman calon dan pelancaran pusat operasi utama PRK Bukit Gelugor, di sini hari ini.

Beliau kemudian bergerak ke dalam pusat operasi untuk mempersembahkan poster pilihanrayanya dengan berlatarkan ayat ‘I AM KARPAL SINGH’ (Saya Karpal Singh) sebagai simbolik menyahut kata-kata keramat tokoh DAP itu bahawa “Seorang Karpal gugur, Seratus Karpal bangkit.”

Gurmit, 66, telah melahirkan dan mendidik lima orang anak, iaitu Jagdeep Singh Deo (EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang), Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong), Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur dan Man Karpal.

Karpal Singh menyandang kerusi Parlimen Bukit Gelugor selama tiga penggal berturut-turut; dan memenanginya pada PRU ke-13 dengan majoriti 42,778 undi.

Mendiang Karpal terkorban dalam kemalangan lebuhraya pada 17 April lalu apabila kenderaannya bergeser dengan sebuah lori. Pembantunya, Michael Cornelius turut terkorban. Karpal menerima upacara pengkebumian dengan penghormatan negeri tiga hari berikutnya dengan disertai lebih 50,000 rakyat berbilang kaum.

PRK Bukit Gelugor bakal berlangsung pada 25 Mei, dengan penamaan calon dijadualkan pada hari Isnin 12 Mei, memberikan DAP bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat 17 hari kempen. – Roketkini.com