Rencana

Strategi alih perhatian mainan ISMA dan MCA – Izmil Amri

Belum sempat hilang letih mengemas pusat operasi utama DAP untuk pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor, berita singkat diterima mengkhabarkan keseganan MCA untuk bertanding melawan anak lelaki mendiang Karpal Singh, Ramkarpal.

Barangkali sedikit terkesima melihat poster Ram yang kelihatan seperti Daniel Craig dengan gaya separa James Bond itu, MCA langsung menyatakan bahawa ia tidak berminat untuk bertanding di Bukit Gelugor.

Kawasan parlimen itu ditandingi MCA dalam PRU ke-13, namun ia tewas dan dimalukan dengan majoriti raksasa memihak kepada mendiang Karpal, iaitu sebanyak 42,778 undi.

Calon MCA yang menentang Karpal itu langsung tidak kita dengari namanya selepas itu. Bayang dan baunya juga tidak dapat dikesan.

Sudah berlalu lebih satu tahun lalu, kini masanya telah tiba untuk MCA mencuba nasibnya sekali lagi dengan mencabar seorang anak muda yang selama ini dilihat tidak mempunyai sebarang pengalaman politik dan tidak pula memiliki karisma dan ‘kehadiran’ politik yang besar seperti mendiang ayahnya atau dua abangnya yang lain, Jagdeep dan Gobind.

Di saat MCA meroyan mahukan keanggotaan kabinet, sepatutnya ia merebut peluang ini untuk membuktikan bahawa ia mampu sekurang-kurangnya meletakkan sekelumit lekuk kepada jumlah majoriti yang bakal dimenangi Ramkarpal.

Tetapi tidak. Ia menyangkakan bahawa ia sedang melakukan maneuver politik yang tepat dengan tidak bertanding untuk kononnya memberi fokus kepada penentangannya terhadap hudud. Kononnya, pengumumannya untuk membariskan seratus peguam itu langkah berkesan dan mapan untuk menggagalkan usaha hudud.

Di sini kita melihat persamaan antara MCA dan ISMA. Kedua-dua masih terperangkap dalam polemik kaum dan pertentangan agama yang sengaja dipanjang-panjangkan demi mengalihkan perhatian rakyat terbanyak daripada hal-hal yang lebih menekan.

Pergelutan golongan ini tentang hudud dan kaum tidak akan membatalkan pelaksanaan GST atau pun memberi jawapan kepada persoalan kelemahan keselamatan perairan Sabah sehingga mudah sekali dibolosi. Bukan setakat bolos, malah ada jiwa yang terancam. Kalau setakat ceroboh dan curi ikan, mungkin boleh ampun lagi.

Namun kini apa yang penting ialah kita boleh melihat strategi pemerintah. Strategi ini sama seperti strategi budak-budak kecil terpecahkan barang, kemudian menangis tak henti-henti. Akhirnya kita terpanggil mendamaikan tangisan si budak, lalu terlupa tentang barang yang tadinya dipecahkan.

Strategi ini kerap kali berjaya dan terus digunakan pemerintah kerana ruang fokus umat Malaysia yang kian singkat dan terhad. Maka kita mudah untuk dimanipulasi dan ditarik ke tepi ke tengah mengikut suka pemerintah.

MCA dan ISMA kedua-duanya tidak akan menang, malah tidak akan dapat membina persepsi positif sekiranya ia terus mengamalkan politik jalan singkat untuk mentaati tetuan politiknya, dan kemudiannya mendapat habuan daripada ketaatan itu. Seperti tok dalang wayang kulit yang menguis-nguis jemari mengawal pergerakan boneka, MCA dan ISMA (serta segala yang sewaktu dengannya) akan sekadar menjadi itu: boneka.

Di saat rakyat terjerat dengan kos sara hidup yang makin meningkat dan pendapatan terhad dan tidak meningkat serta mahu dicukai pula, pertubuhan seperti ISMA dan MCA sewajarnya memeriksa keadaan dan mendahulukan kebajikan perut dan hati berbanding menabur benih kebencian kaum dan kegagalan toleransi.

Akhirnya ISMA, sebuah perkumpulan ultra-rasis Melayu yang cuba menghalalkan kewujudannya dengan label Islam bertemu pasangannya, MCA, sebuah parti Cina yang akan terus sanggup tunduk kepada tuannya yang tidak mahu saya sebutkan siapa.

Bukit Gelugor akan menjadi tanda kedayusan MCA. Dan rakyat Bukit Gelugor akan mengajar pertubuhan-pertubuhan perkauman ini apa sebenarnya erti perpaduan, keamanan, keadilan dan sifat manusiawi. – Roketkini.com