Rencana

Wujudkan dasar untuk menggalakkan wanita bekerja – Ucapan Hari Ibu daripada Wanita DAP Johor

“Tangan yang menghayun buaian
adalah tangan yang menguasai dunia.” – William Ross Wallace

Tiada siapa dapat menafikan kepentingan golongan ibu dalam masyarakat kita. Namun, kita belum melakukan secukupnya untuk mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.

Sempena Hari Ibu 2014, Wanita DAP Johor ingin menekankan kembali perlunya untuk melaksanakan beberapa dasar tenaga kerja yang mesra-keluarga bagi mengurangkan bebanan ibu dan juga keluarga baru.

Sebelum itu, kami ingin menyebut kembali manifesto yang dimulakan NGO “Mama Bersih” pada PRU lalu yang disokong kami.

Manifesto itu bukan sahaja mendapat sokongan wanita, malah juga calon-calon daripada golongan lelaki. Sebahagian mereka menang dan menjadi wakil rakyat pada hari ini. Kami mengakui tuntutan yang dinyatakan dalam dokumen itu sebahagian besarnya masih menanti untuk dipenuhi.

Oleh itu, kami komited untuk terus mengangkat isu hak dan kebajikan kaum ibu, agar terbentuk negara yang lebih baik untuk golongan wanita dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Beberapa tuntutan dalam manifesto itu, contohnya, bilik asuhan kanak-kanak di semua tempat kerja dan ruang awam untuk membolehkan ibu menyusukan anak mereka, waktu kerja yang anjal kepada ibubapa untuk menjaga anak yang baru lahir, cuti untuk para bapa, dan sebagainya, amat kena dengan waktunya untuk dilaksanakan.

Selain itu, kami menyokong sepenuhnya penubuhan pusat asuhan kanak-kanak untuk ibu-bapa muda di pejabat, terutama demi kepentingan keluarga yang tinggal di bandar dan tidak memiliki saudara-mara untuk membantu menjaga anak mereka.

Kerajaan Persekutuan harus menyediakan insentif seperti pengecualian cukai kepada semua syarikat yang mewujudkan pusat asuhan anak-anak untuk pekerja mereka. Justeru, golongan ibu daripada keluarga yang baru dibina berpeluang untuk kembali menyumbang dalam pasaran tenaga kerja dan tidak perlu berhenti selepas melahirkan anak kerana perbelanjaan pusat asuhan anak-anak meningkat terlalu tinggi dan tidak dapat ditanggung sepenuhnya oleh pendapatan mereka.

Kami menghargai usaha kerajaan Johor untuk mewujudkan beberapa pusat asuhan kanak-kanak untuk kakitangan kerajaan wanita di pejabat-pejabat kerajaan; namun, hakikatnya para pekerja dalam sektor swasta juga perlu dibantu. Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta supaya mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak.

Perlu ditekankan di sini bahawa dasar pusat asuhan kanak-kanak ini bukanlah untuk kepentingan golongan wanita yang memiliki anak sahaja, ia akhirnya akan memberi manfaat kepada semua pasangan yang baru berumahtangga. Maka, ia tidak seharusnya dilihat sebagai dasar wanita, sebaliknya sebagai dasar keluarga yang penting, malah sebagai satu dasar ekonomi kerana ia akan membolehkan wanita memainkan peranan yang lebih giat dalam pembangunan ekonomi negara.

Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
Gan Peck Choo (Adun Penggaram)
Chew Peck Choo (Adun Yong Peng)
Wong Shu Qi (Adun Senai)
Liow Cai Tung (Adun Johor Jaya)
Ng Siam Luang (Penolong Setiausaha Organisasi Wanita DAP)
Dyana Sofya Mohd Daud (Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP) – Roketkini.com