Berita

Hukum pelajar bantah TPPA, UM lebih sudu dari kuah

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) mengecam tindakan Universiti Malaya (UM) memberikan surat tunjuk sebab kepada empat mahasiswanya kerana menyuarakan bantahan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama akhir bulan lalu.

Dalam satu sesi soal jawab Obama bersama pelajar ASEAN di Dewan Tuanku Canselor UM pada 27 April lalu, empat pelajar itu mempamerkan plakad membantah TPPA serta konflik pergolakan di Mesir.

Mereka kemudian menerima surat tunjuk sebab daripada Bahagian Hal Ehwal (HEP) Pelajar UM berhubung bantahan itu, dan perlu menjawabnya dalam masa seminggu bagi mengelakkan tindakan tatatertib dikenakan.

Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Chow Yu Hui mempersoalkan tindakan melulu universiti ke atas pelajar yang hanya menyuarakan bantahan mereka.

“Di saat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan UM yang mendapat lima bintang dalam penilaian QS Star Rating baru-baru ini, mereka menerima surat tunjuk sebab hanya kerana menyuarakan pandangan terhadap isu TPPA.

“Janganlah terlalu asyik dengan pengiktirafan itu. UM seharusnya berbangga dengan tindakan mahasiswa yang berani menyuarakan pandangan, tambahan pula perjanjian itu tidak didedahkan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan UM sebagai ‘lebih sudu dari kuah’ kerana pihak AS tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan berhubung kejadian itu.

“Pihak Kedutaan AS mahu pun Obama tidak membantah tindakan mahasiswa itu kerana tahu hak menyuarakan pandangan adalah hak asasi yang tidak boleh dinafikan. Pihak UM pula mengambil tindakan tanpa sebarang alasan kukuh,” katanya lagi, mempersoalkan hal itu.

Dalam tempoh yang hampir sama, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Sabah, Mohd Fathihie Gadus dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan bantahan terhadap sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam laman Facebook.

Dalam surat bertarikh 28 April, pentadbiran UiTM mendakwa mahasiswa sarjana muda sains biologi itu melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, dan boleh digantung jika didapati bersalah.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghapuskan terus Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana jelas pindaan yang dibuat pada 2012 tidak mengubah apa-apa.

“Kebebasan bersuara mahasiswa semakin disekat, kebebasan akademik langsung tidak dimartabatkan di universiti.

“Maka saya menggesa sekali lagi, AUKU yang menjadi punca tersekatnya kebebasan mahasiswa perlu dimansuh segera. Manakala HEP digantikan dengan Kesatuan Mahasiswa agar universiti, terutama hal ehwal pelajar ditadbir sendiri oleh pelajar,” katanya lagi. – Roketkini.com