Berita

Desak kerajaan dedah perjanjian konsesi jika Khairy ikhlas ingin selesaikan krisis air

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin perlu mendesak kerajaan BN mendedahkan kandungan perjanjian air kepada rakyat jika beliau benar-benar prihatin akan krisis air di Selangor, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Katanya lagi, maklumat dalam perjanjian yang dilindungi Akta Rahsia Rasmi akan membantu rakyat menilai sendiri sebab kerajaan negeri menghalang tarif air dinaikkan pada 2009, 2012 dan 2015.

“Hanya dengan pendedahan penuh, rakyat boleh menilai sendiri sama ada logik atau tidak kerajaan negeri menghalang tarif air dinaikkan sehingga 37% pada 2009, 25% (2012) dan 14% (2015) selepas Syabas tidak mampu mengurangkan kadar non-revenue water (NRW) seperti dalam perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa Khairy meminta Kabinet mendedahkan laporan audit Syabas untuk melihat ke mana perginya dana yang disuntik kerajaan pusat bagi mengurangkan NRW.

“Cadangan ini akan menjimatkan masa kita berbahas memandangkan rakyat ada maklumat cukup untuk buat penilaian. Misalnya, mereka dapat nilai sama ada tawaran pampasan kerajaan negeri kepada syarikat konsesi adil atau tidak,” katanya lagi

Dalam serangan terbaru Khairy berhubung isu ini minggu lalu, beliau menyalahkan keengganan kerajaan negeri menaikkan tarif air di atas kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memainkan peranannya iaitu mengurangkan NRW.

NRW adalah air terawat yang ‘hilang’ sebelum sampai kepada pengguna, antaranya kerana kebocoran paip, kecurian air dan bacaan meter yang tidak tepat.

Bee Yin turut mencadangkan agar Khairy menggesa kerajaan pusat meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk menggunakan teknologi pembenihan awan ‘Royal Rainmaker’ dari Thailand, serta menghentikan bantuan kewangan kepada syarikat konsesi.

“Saya ajukan cadangan ini kepada Khairy jika beliau benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan masalah air di Selangor. Sangat menarik melihat Menteri Belia dan Sukan begitu beria-ria mendapatkan pujian untuk BN daripada krisis ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menekankan perlunya kerajaan pusat menggunakan Seksyen 114 Akta Industi Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 bagi mempercepat proses pengambilalihan syarikat konsesi kepada kerajaan negeri.

“Jika Kabinet mampu mengambil pendirian ini, kita boleh selesaikan pengambilalihan dalam masa terdekat. ‘Gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah’. Kita tidak lagi mampu untuk melengahkan penstrukturan semula air demi manfaat jangka panjang rakyat negeri,” katanya lagi.

Melalui AIPA, menteri boleh, demi kepentingan negara dan kelulusan kerajaan Persekutuan, mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil alih operasi bekalan air daripada syarikat konsesi.

Sebelum ini, kerajaan negeri menawarkan RM9.65 billion untuk mengambil alih perkhidmatan air, namun ditolak dua syarikat konsesi, iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (pemilik Syabas) dan Gamuda Berhad (pemilik Air Sungai Selangor Sdn Bhd – SPLASH) – Roketkini.com