Berita

Pameran fotografi ‘Faces and Phases’ di Publika 10 Mei – 3 Jun ini

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Orang ramai dijemput hadir ke pameran fotografi ‘Faces and Phases’ oleh Jahabar Sadiq dan R. Din, bertempat di Artemis Art, Publika Shopping Gallery di sini, yang bermula semalam hingga 3 Jun nanti.

Pameran ini, yang diatur oleh Jahabr sendiri bersama artis serta penghias dalaman Ria Johanna Waran sebagai kurator, mengangkat hasil seni Jahabar dan R. Din ketika mengembara ke seluruh dunia dan juga segenap ceruk kampung.

Jahabar lebih dikenali sebagai pengasas, CEO, dan editor laman berita The Malaysian Insider. Pameran ini menampilkan ‘tangkapannya’ semasa bertugas di agensi berita Reuters, dari pedalaman (outback) Australia hingga kawasan bergolak di Afghanistan.

Beliau sebelum ini pernah mengadakan pameran solo di Bangunan Royal Bank of Scotland (RBS), Pulau Pinang pada tahun 2006 dan 2009.

R. Din pula memilih untuk tidak dikenali dan membiarkan imej-imej tangkapan menjadi wajahnya. Beliau mula menarik perhatian pengikut-pengikut seni fotografi melalui laman perkongsian gambar Instagram.

Fotografi adalah cabang seni yang sentiasa mendapat tempat, dan antara yang mengalami perubahan paling pesat ekoran kaitan rapatnya dengan teknologi.

Pada tahun 2011, gambar yang dinamakan ‘Rhein II’ oleh artis visual Andreas Gursky dibida pada harga USD4.3 juta, menjadikannya gambar termahal di dunia.

Majlis perasmian ‘Faces and Phases’ akan diadakan pada jam 3:00 petang, 13 Mei ini, dan akan dirasmikan oleh Datuk Faridah Begum dan Professor CM Vickneswaran.

Artemis Art bertempat di Lot 21 dan 22, Level G4 Publika@Dutamas, Blok C5 Solaris Dutamas.

Galeri dibuka bermula jam 11 pagi hingga 7 petang (Insnin – Sabtu) dan 12 tengah hari hingga 6 petang (Ahad dan cuti umum).

Sebarang maklumat, boleh hubungi Tel: 019-664-7088 (S. Jamal Al-Idrus ) or 012-373-2188 (U.C. Loh) atau layari laman rasmi di sini.  – Roketkini.com