Berita

Kemaskini: Penamaan calon Bukit Gelugor meriah

GEORGE TOWN, 12 MEI – Penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat berhimpun untuk memberikan sokongan kepada calon DAP-Pakatan dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor.

Ramkarpal, anak ketiga mendiang Karpal Singh tiba dengan kenderaan Jeep merah yang sentiasa digunakan ayahnya.

Beliau diarak ribuan penyokong dengan didahului kumpulan gendang muhibbah, menuju pusat penamaan calon di Dewan Sri Pinang.

9.22 pagi – Sekumpulan remaja seramai 10 ke 15 orang kelihatan membawa kain rentang menuju pusat penamaan calon.  Khabarnya mereka adalah penyokong calon bebas yang mengaku sebagai ahli PAS, Mohamad Nabi Bux.

Suruhanjaya Pilihanraya pula menyediakan dua khemah untuk penyokong calon bebas ini, sedangkan hanya satu khemah disediakan untuk penyokong dan pimpinan DAP.

Menyampah dengan keadaan ini, penyokong Pakatan di luar pusat penamaan calon mula bersorak, “Boringboring, mana Umno? Mana BN?”

Ribuan penyokong calon DAP, Ramkarpal Singh membanjiri jalan di Padang Kota Lama pada hari ini.

Satu lagi lawan mereka yang disyaki daripada Parti Cinta Malaysia belum pun kelihatan setakat ini.

10.19 pagi – Penamaan calon ditutup dengan menyaksikan lima calon mengemukakan borang untuk berentap di PRK Parlimen Bukit Gelugor.

Namun hanya empat yang berjaya, termasuk calon DAP-Pakatan Ramkarpal Singh.

Tiga lagi calon yang berjaya ialah Huan Cheng Guan dari Parti Cinta Malaysia; Mohamad Nabi Bux, calon bebas; serta Haji Abu Bakar, seorang peguam yang juga merupakan calon bebas.

Seorang lagi individu yang turut menghantar pencalonan, Lim Chee Koon, ditolak oleh pihak SPR kerana gagal mengemukakan bayaran deposit.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan setelah penyandangnya, tokoh DAP mendiang Karpal Singh terkorban dalam kemalangan jalanraya 17 April lalu.

Hari mengundi dijadualkan pada 25 mei ini.