Rencana

Edward Said tentang para intelektual – Muhammad Nazreen

SIAPA intelektual? Apakah maksud intelektual? Dan, apa pula ciri-cirinya?

Soalan ini dijawab oleh Edward Said dalam siri Reith Lecture 1993 yang kemudian dibukukan dan diterbitkan pada tahun 1993 oleh Random House dengan judul Representation of Intellectuals.

Menjadi intelektual tak semestinya memerlukan pendidikan yang tinggi. Intelektual tak harus lahir daripada universiti. Ini rumusan awal daripada transkrip Edward Said dalam siri syarahan tersebut.

Bagi Said, intelektual harus bermula dengan keyakinan untuk mengubah masyarakat. Intelektual harus berani, jujur dan menyendiri. Mereka tak harus dipengaruhi kekuasaan dan politik.

Namun, intelektual sentiasa mendepani masyarakat dalam soal-soal keseharian hidup mereka. Intelektual selalunya lahir dari ruang yang tertindas. Di sini, peranan mereka mustahak untuk membela mereka yang tertindas.

Salah satu bab yang dimuatkan di dalam Reflection on Exile and Other Essays (2000) bertajuk “On Defiance and Taking Position”, Edward Said menjelaskan peranan intelektual:

“Tugas intelektual bukan untuk bekerjasama dengan kekuasaan, tetapi untuk memahami, mentafsir dan mempersoalkan setiap butir tentang nilai-nilai kekuasaan…”

Berikut adalah ciri-ciri seorang intelektual menurut pandangan Edward Said:

Tersisih daripada masyarakat

Kebanyakan intelektual mewakili pendapat yang tidak digemari. Mereka berkata atas kapasiti kebenaran. Akhirnya, hidup mereka melata. Mereka disisihkan kerana sikap menolak pembodohan dan hidup bersendirian kerana merekalah ancaman sebenar terhadap kekuasaan.

Edward Said mengambil pengalaman dirinya yang sentiasa diasingkan oleh masyarakat. Dia diugut bunuh, dikeji rakan-rakan sekerja dan disisihkan masyarakat kerana mempertahankan perjuangan rakyat Palestin yang dianggap gerakan pengganas di Amerika Syarikat.

Bercakap benar di hadapan kekuasaan

Tugas intelektual adalah bercakap benar walaupun pahit.

13 Januari 1898, seorang penulis Perancis bernama Emile Zola menulis esei bertajuk “J’accusse” yang dimuatkan dalam akhbar harian Perancis L’Aurore. Dalam esei itu Emile Zola membela Richard Dreyfus yang dituduh khianat dan berhadapan hukuman mati sedangkan beliau diyakini tidak bersalah. Peristiwa ini dikenal dunia sebagai “Dreyfus Affair”. Di saat penghukuman bakal berlangsung, Zola mempertaruhkan kerjaya untuk berkata benar di hadapan penguasa. Itulah contoh intelektual.

Bukan kerana nama

Menjadi intelektual bukanlah suatu kerjaya. Malah, intelektual adalah ancaman bagi mereka yang mahu hidup stabil dan tenang. Tegas Said, “intelektual bukan mereka yang bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang.” Intelektual adalah mereka yang sentiasa bekerja di luar waktu pekerjaan, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran atas usaha mereka. Senang cerita, intelektual adalah mereka yang berfikir, menulis dan melawan…bukan kerna nama! – Roketkini.com