Berita

Krisis Terengganu: Pilihanraya baru jalan terbaik

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Pilihanraya Negeri (PRN) yang baru adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis di Terengganu, ekoran bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang mengumumkan keluar daripada parti itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini bagi memulangkan hak memilih kerajaan kepada rakyat Terengganu sendiri, tambahan pula tiada pihak yang memiliki majoriti besar untuk membentuk kerajaan pada masa ini.

BN kini hanya memiliki 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berbanding Pakatan Rakyat dengan 15 kerusi, selepas Ahmad Said, diikuti dengan Adun Umno Bukit Besi Roslee Daud dan Adun Umno Ajil Ghazali Taib mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

“Ada beberapa senario yang mungkin berlaku. Pertama, Menteri Besar baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengakui bahawa beliau sudah hilang majoriti di DUN serta mandat sebagai Menteri Besar.

“Kedua, kemungkinan Pakatan Rakyat yang memiliki lebih satu kerusi DUN membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, katanya lagi, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan mengadakan PRN yang baru bagi mendapatkan sekaligus mengelakkan krisis yang sama pada masa akan datang.

“Oleh kerana tiada pihak yang memiliki majoriti yang selesa (effective majority) di DUN, jalan terbaik adalah dengan mengadakan PRN yang baru di Terengganu. Ia juga memulangkan hak kepada rakyat menentukan sendiri masa depan negeri mereka,” katanya lagi.

Semalam, Ahmad Said membuat kejutan dengan mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas, serta menyatakan beberapa wakil rakyat juga akan menyusulinya.

Ia berlaku beberapa jam selepas perletakan jawatannya sebagai menteri besar, dipercayai ekoran tekanan pimpinan tertinggi Umno.

Beliau digantikan dengan Adun Umno Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. -Roketkini.com