Berita

PRK Bukit Gelugor penting untuk PRK Teluk Intan – Chin Tong

AIR ITAM, 13 MEI – Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor bukan sebarangan pilihanraya. Ia adalah medan yang amat penting demi agenda perubahan di seluruh negara.

Meskipun MCA gagal menyertai dan memberikan persaingan dalam pilihanraya kali ini, ia tidak bermakna DAP boleh mengharapkan kemenangan mudah kerana kempen Bukit Gelugor bakal memberikan kesan kepada pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan serta agenda perubahan yang tersekat, di seluruh negara.

Demikian kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mengulas keadaan semasa yang disifatkannya sebagai ‘tergantung’ kerana pilihanraya setahun lalu tidak pun menyelesaikan soal perubahan utama.

“Negara masih tersangkut dan tidak mempunyai sebarang hala tuju jelas,

“Kempen ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menghadirkan Malaysia yang lebih baik,” ujarnya.

Menurut Chin Tong lagi, walaupun Barisan Nasional tidak mampu meletakkan calon di Bukit Gelugor, mereka telah mengaku akan memberi sokongan kepada calon-calon bebas.

“Saya menyeru pengundi Bukit Gelugor supaya keluar mengundi beramai-ramai dalam jumlah yang besar demi memperlihatkan sokongan mereka bukan sahaja kepada Ram, tetapi juga legasi Karpal Singh,” kata beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP.

DAP mempertaruhkan anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal sebagai calonnya dalam PRK yang bakal berlangsung 25 Mei ini. – Roketkini.com