Berita

PRK Teluk Intan: Pengundi muda Melayu ikrar sokongan kepada DAP

TELUK INTAN, 15 MEI: Walaupun masih belum mengumumkan siapa calon yang akan diletakkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, DAP setakat ini dilihat lebih ke depan berbanding Barisan Nasional (BN) apabila kebanyakan pengundi muda Melayu menyatakan sokongan terhadap parti itu.

Tinjauan Roketkini di kawasan Melayu di DUN Changkat Jong setakat ini menyaksikan kebanyakan mereka yang ada di antaranya memberi undi kepada BN dalam PRU lalu mula beralih arah dan yakin dengan kepimpinan DAP.

muhammad noor esma-WIRA6616 (7)Seorang pengundi Melayu, Muhammad Noor Esma Hafiz berkata, walau BN meneruskan taktik lama mereka menerusi cara kotor, beliau yakin DAP tetap akan kekal di Teluk Intan berikutan kesungguhan dan agenda kerja mereka yang jelas mementingkan rakyat daripada segalanya.

“Pada saya, DAP merupakan pilihan terbaik di sini. Saya tidak menilai dari personaliti atau luaran, tapi berdasarkan kerja keras saban hari selama memegang kerusi ini yang membuktikan keikhlasan mereka.

“Hampir semua pemimpin DAP, termasuk mendiang Seah, sentiasa mengambil kira permasalahan kami. Gaya kepimpinan seperti ini adalah contoh seorang pemimpin zuhud, iaitu mengetepikan segalanya demi tanggungjawabn kepada rakyat tanpa mengira warna kulit atau agama,” katanya.

mohd mukhtar (2)Bagi penduduk Taman Bahagia Mohd Mokhtar pula, antara sebab mengapa beliau yakin terhadap DAP adalah komitmen kuat parti itu dalam menuntut keadilan.

“Isu terhangat setakat ini, seperti kita sedia maklum adalah bagaimana BN cuba memutuskan ikatan antara PAS dan DAP melalui hudud dengan harapan lebih ramai Melayu menyokong mereka.

“Tapi ia tidak akan membawa sebarang kesan kerana kebanyakan sedar bahawa persamaan antara kedua parti lebih banyak berbanding perbezaan.

“Antara persamaan itu adalah kesungguhan dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua, itu tidak pernah lari. Kerana itu, Teluk Intan wajar dikekalkan di tangan Pakatan Rakyat dengan memberi kemenangan untuk DAP,” kata pemuda berusia 27 tahun yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan di sana.

Bagi graduan Politeknik Tanjung Malim yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham pula, beliau memilih DAP kerana mahukan perubahan dan muak dengan janji- janji kosong “menanam tebu di tepi bibir” BN.

“Naluri saya lebih kepada DAP sebab BN di sini, sebagai contoh Adun Changkat Jong sekarang, macam hidup segan mati tak mahu saja.

“Bila hampir mengundi datang tabur janji, lepas dah habis dengan dia-dia sekali hilang,” ujarnya.

Parlimen Teluk Intan meliputi 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 60,439 pengundi.

PRK kali ini diadakan kerana penyandangnya, Seah Leong Peng, telah meninggal dunia akibat barah.

Pada PRU lalu, Seah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 7,313 menewaskan calon Gerakan Mah Siew Keong dan calon bebas K Moralingam. -Roketkini.com