Rencana

Rasisme, Alifah, Malcolm dan keluarga manusia – Zahid Naser

Kota Romawi teguh berdiri,
Membawa erti pahlawan sejati;
Pejuang kebenaran tenang sendiri,
Tidak tergoyah hunusan belati.

Yunani datang menjana temasya,
Demokrasi lahir, darilah sana;
Marah pejuang kena tempatnya,
Kata dijaga penuh bijaksana.

Warga internet kadang-kadang tidak sedar apa yang mereka hamburkan. Kalau mereka sedar. Mereka akan insaf bahawa taip-taip kalimah mereka di papan kekunci itu terkadang hanya menzahirkan ignorance dan kebodohan mereka. Jadi, berhati-hatilah ketika menaip. Biar berfikir, dan jangan beremosi.

Nama seorang Alifah Ting menjadi hangat di dada internet apabila dia sedaya-upaya mengatakan bahawa leluhurnya adalah pendatang. Dia mengaku dia adalah Cina yang tahu asal-usul. Beliau mempertahankan ISMA dan doktrin Melayu itu tuan tanah. Dan Cina-cina adalah penceroboh tanah orang Melayu sedari era kolonial Inggeris.

Respon dan reaksi

Ramai yang memberi respons dan reaksi kepada gadis berketurunan Cina itu, namun apa yang menyedihkan. Nada kebencian juga dihamburkan kepada gadis Cina yang menjadi aktivis ISMA yang terkenal baru-baru ini dengan kenyataan-kenyataan panas presidennya yang dianggap ramai sebagai rasisme. Kebencian itu terhambur lewat ruang komentar di banyak laman web.

Saya juga tidak bersetuju dengan doktrin itu. Mengatakan Cina sebagai penceroboh boleh membawa akibat yang tidak sihat. Sebaiknya kita hidup rukun dan damai dalam negeri kita yang tercinta ini. Kita makan pau orang Cina. Orang Cina makan apam balik Melayu. Melayu dan Cina sama-sama makan roti canai India. Banyak sahaja justifikasi yang boleh kita lakukan untuk menyatakan kenyataan itu tidak rasis. Namun, begitulah pendapat umum yang dilihat umum sekarang.

Apa pun andaian, rasisme atau bukan, kisah Iblis dalam Al-Quran yang merasa dirinya lebih bagus dari orang lain wajar dijadikan renungan. Unsur apinya itu membuat dia merasa lebih bagus dari tanah. Dari situlah mantik rasisme sang Iblis dirakam dalam Al-Quran. Wabak itu dibawa-bawa sehingga Iblis nantinya akan merempat di neraka.

Wabak rasisme ini boleh terjangkit kepada sesiapa pun. Baik dia seorang Cina, baik dia seorang Melayu atau seorang India. Rasisme tidak mengenal warna kulit seseorang!

Iblis, bapa rasisme dan kebencian

Perkauman atau rasisme dimulakan oleh Iblis. Momen itu disebut dalam Al-Quran. Boleh saja dikatakan Iblis adalah makhluk rasis pertama dalam alam kejadian ini. Iblis merasakan dia berhak atas kemuliaan dirinya. Kemuliaannya didakwa adalah dari neraca dirinya sendiri. Bukan dari neraca Tuhan. Allah ta’ala berfirman:

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.’ Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir” (Al-Baqarah: 34).

Kerana arogannya, dan sifat tinggi diri yang melampau, Iblis tidak mahu sujud. Sifat merasa lebih bagus dan lebih mulia dari makhluk lain membaluti diri:

Allah ta’ala kemudiannya menyoal sang durhaka, bapa rasisme, Iblis:

“Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkanmu?”

Iblis menjawab…

“Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (Al-‘Aaraaf: 12)

Logik yang dipakai Iblis ini samalah seperti logik mereka yang merasa unsur dirinya, atau warna kulitnya, atau bangsanya terlebih dahulu menjadi perkiraan dalam menentukan baik dan buruk (lihat Zilal el-Quran, Syed Qutb).

Logik manusia adalah logik yang tidak sempurna. Kerana keterbatasan akal itu, ia tidak mampu menilai logik dan mantik untuk semua hal.

Itu juga sama seperti logik Adolf Hitler, ketika merasa kaum Aryan lebih berhak dan Yahudi harus dibanteras, dibunuh dan dihalau. Penyeksaan dan penindasan atas falsafah rasisme Hitler mengakibatkan tidak kurang dari 6 juta Yahudi dibunuh. Holocaust itu kini menjadi modal pula kepada Zionisme rasis untuk menunjal kepala dan menzalimi rakyat Palestin.

Begitulah juga logik orang kulit putih yang memusuhi orang kulit hitam. Dan orang kulit hitam yang bermusuh dengan orang kulit putih. Tidak sedikit pertumpahan darah yang berlaku kerana faham rasisme ini. Faham ini juga pernah menjadi faham awal Malik Shabbaz, atau lebih terkenal dengan panggilan Malcolm X, sewaktu beliau bergiat dalam pertubuhan Nation of Islam. Ucapan-ucapan berapi Elijah Muhammad yang dianggap nabi oleh kumpulan itu membuat beliau dan rakan-rakannya menganggap orang kulit putih sebagai syaitan, ‘white devil’.

Nation of Islam. Walau nampak namanya ‘Islamik’, rasisme menjadi satu ajaran pengasasnya Wallace Fard Muhammad. Ucapan-ucapannya rasismenya kemudian menjadi asas doktrin Nation of Islam yang diwariskan kepada pemuka-pemukanya setelah itu seperti Elijah Muhammad. Saat Elijah Muhammad mengetuai Nation of Islam, Malcolm X terkesan akan ajaran Islam yang dibawa oleh beliau lantas bergabung dalam gerakan itu pada tahun 1948, dan itu disaksikan oleh Reginald, abangnya sendiri. Dengan Islam versi Nation of Islam. Malcolm X berjuang demi mengangkat kaumnya dengan mengimani akan ‘supremacy of black’ (ketuanan kulit hitam).

Namun Malcolm X, atau nama Muslimnya Malik Shabbaz. Telah bertukar 360 darjah apabila memahami esensi Islam lewat permusafiran beliau untuk menunaikan haji pada tahun 1964. Perjalanan haji beliau membuka matanya yang dulunya tertutup dengan kebencian terhadap orang kulit putih. Beliau tidak sangka, kulit putih yang dibencinya sebelum ini akhirnya menjadi rakannya pula. Bahkan menjadi saudaranya yang paling lembut dan mesra. Bahang persaudaraan Islam yang rentas kaum, warna kulit dan bahasa itu, memberikan pencerahan baru kepada dirinya. Dia tidak harus memusuhi mereka yang berlainan warna. Tetapi harus memusuhi kejahilan dan kebatilan!

Kerana pencerahan baru lewat permusafirannya dari Amerika ke Arab Saudi itu. Malik Shabbaz berfikir kembali akan pegangannya selama ini. Kebencian terhadap orang kulit putih dinilai semula. Dan akhirnya, Malik Shabbaz memilih untuk berjuang menegakkan civil right, tidak lagi dalam ruang lingkup ‘black nationalism’ tetapi ruang lingkup ‘co-existense’ yang penuh kerukunan. Hidup bersama-sama dan berkongsi nilai-nilai sejagat. Dia kini merasa sebahagian dari Amerika dan harus mempunyai hak-hak sama seperti orang Amerika yang lain – bukan dilayan sebagai pendatang atau sebagai warga Afrika yang dibawa masuk ke dalam negara itu sebagai buruh dan hamba. Beliau kini menentang kezaliman sistem Amerika dan menuntut hak sama rata seperti penduduk-penduduk Amerika yang lain.

Dengan itu beliau harus berkawan demi mencapai cita-citanya. Berkawan dengan kepelbagaian kaum dan budaya. Beliau lantas menyatakan kebenaran. Beliau dipulau dan dihalau dari kumpulannya sendiri(Nation of Islam). Bahkan beliau kemudiannya menjadi sasaran keganasan mereka yang memusuhi pendapat-pendapat ‘baru’nya.

Alex Haley mengungkapkan hal ini dalam autobiografi Malcolm X:

“Semenjak aku mengetahui kebenaran di Mekah, kawan-kawan baikku kini terdiri dari pelbagai jenis! Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, agnostic dan bahkan ateis!! Aku juga ada kawan-kawan yang digelar orang sebagai kapitalis, sosialis, dan komunis! Ada juga dari mereka itu moderat, konservatif, ekstremis, dan ada juga dari mereka itu Uncle Toms! Kawanku hari ini ada yang hitam, coklat, merah, kuning dan putih!!” (lihat: The Autobiography of Malcolm X, Alex Haley, 1964).

Kerana semangat baru, dari kefahamannya terhadap realiti kaum dan budaya Amerika itu. Akhirnya beliau ditembak mati. Matilah seorang pejuang kebenaran yang berusaha menegakkan kefahamannya.

Beliau mati pada tanggal 12 Februari 1965, ketika ingin menyampaikan ucapaan di Manhattan, sewaktu persidangan kesatuan Afro-Amerika (Afro-American Unity).

Menghadapi rasisme dengan ‘wisdom

Rasisme yang lahir dari kebencian dan hasad tidak harus dibalas dengan kebencian juga. Kerana rasisme itu adalah tanda kejahilan. Neraca logik-mantik orang yang rasis adalah dangkal dalam apa jenis bahasa sekalipun. Kejahilan dan kedangkalan ini harus ditentang dengan kebijaksanaan dan hikmah.

Bahkan boleh saja kita biarkan dan tinggalkan mereka. Bak kata sebuah syair Imam Al-Syafi’ie rahimahullah (204H).

Aku meninggalkan orang yang bodoh dan jahil,
Kerana apa yang diucapkan hanya sekadar mengangkat dirinya.
Tidak akan memberi darurat sedikit pun kepada Sungai Furat,
Di waktu beberapa ekor anjing bermandian di dalamnya.
(lihat: Diwan Al-Syafi’e, komentar D. Ismail Al-‘Aqbawiy, Dar el-Haram el-Turath).

Untuk orang yang tidak sependapat dengan ISMA mahupun Alifah Ting. Tidak seharusnya mereka itu menghamburkan kata-kata kesat terhadap beliau. Kemarahan sebahagian orang terhadap ISMA dan aktivisnya boleh difahami. Namun, janganlah disebabkan kemarahan itu kita bersikap buruk. Biarlah kita menjadi bijaksana dan penuh hikmah.

Kemarahan hanya menyesatkan

Kemarahan tidak menjustifikasi segala perbuatan. Laras bahasa kepada mereka yang dimarahi tetaplah harus dalam etika kesopanan dan santun kita.

Kong Hu Chu, atau Confucius (551SM-479SM) mengatakan:

“Mereka yang tidak pandai bercakap dengan sopan, tidak akan sesekali dapat melahirkan butir perkataan yang cantik.”

Kesantunan adalah perjuangan semua bangsa. Biar marah. Tapi santunnya tetap terserlah. Kata-kata nista disimpan, kata-kata hikmah akan menjelma. Alifah Ting, walaupun kita tidak suka akan kata-katanya yang dianggap mendokong rasisme yang diwar-warkan oleh sang presiden, tetap beliau tidak berhak untuk mendapat kata-kata nista, kesat, bahkan lucah. Kesopanan yang ada dalam jiwa ini tidak harus berkurang hanya kerana kemarahan terhadapnya.

Janganlah rasisme dibalas dengan rasisme juga. Rasisme harus dibalas dengan hujah yang baik, konstruktif dan jauh dari emosi. Apalah gunanya apabila permusuhan yang dihantarkan itu dibalas juga dengan permusuhan. Dunia tidak akan bernafas lama jika hanya itu sahaja yang manusia tahu lakukan.

Kami Semua Menentang Rasisme

Maka, marilah saya mengajak untuk sekalian pembaca menyatakan: Kita adalah orang yang menentang apa saja jenis rasisme dan kebencian. Mari kita semua menyatakan bahawa kita akan terus menegakkan keadilan dan keamanan.

Saya tinggalkan pembaca dengan sepotong kata-kata Malcolm X, buat renungan bersama. Mana tahu, ada hikmahnya yang dapat kita ambil buat melalui denai negara yang penuh cabaran ini.

“Islam sebenar telah mengajar saya bahawa setiap aspek agama, politik, ekonomi, psikologi dan ciri-ciri ras adalah cabang-cabang yang akan menjadikan keluarga manusia (human family), dan masyarakat manusia (human society) sempurna!” (Alex Haley, 1964).

*Penulis adalah anggota Sekolah Pemikiran Imam Hasan Al-Banna dan lulusan Al-Azhar, Mesir.