Berita

Najib ditekan dan termakan propaganda ISMA

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pemikiran liberalisme dan hak asasi manusia adalah ancaman kepada umat Islam, menggambarkan beliau tunduk kepada tekanan propaganda pihak tertentu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, dakwaan mengarut itu menimbulkan persoalan sama ada Najib menyokong kenyataan pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) selama ini, apatah lagi Najib sendiri tidak pernah menegur pertubuhan perkauman itu.

“Pandangan Najib sama dengan propaganda ISMA. Ini menimbulkan persoalan, apakah hubungan beliau dan kerajaan pimpinannya dengan NGO itu?

“Ia semakin jelas, memandangkan Najib sendiri tidak pernah menegur kenyataan ISMA selama ini yang jelas berniat jahat dan cuba menimbulkan permusuhan,” katanya kepada Roketkini semalam.

Hak asasi manusia dan liberalisme sebelum ini sering dimomokkan sebagai ideologi barat oleh pertubuhan seperti ISMA dan Perkasa untuk menakut-nakutkan orang Islam di Malaysia.

Menurut laporan Berita Harian, Najib menggelar perjuangan hak asasi manusia sebagai ‘humanrightisme’ berasaskan pemikiran sekularisme dan liberalisme serta menjadi ancaman terbaru kepada umat Islam.

Najib malah menyifatkannya sebagai cabang agama baru dan songsang.

Menyangkal kenyataan itu, Zairil sebaliknya menegaskan bahawa perjuangan hak asasi manusia tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang berteraskan keadilan dan kesaksamaan, antaranya kebebasan bersuara dan kesetaraan dalam undang-undang.

“Najib cuba menggambarkan hak asasi sebagai satu kejahatan. Ia malah selari dengan Islam yang mengangkat keadilan dan kesaksamaan. Hakikatnya, hanya yang makan cili akan terasa pedas. Orang yang tidak melanggar hak asasi tidak akan takut kepadanya.

“Cubaan beliau mengaitkan elemen negatif kepada terma seperti ‘hak asasi’, ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme’ tidak lebih sekadar cubaan mengaburi rakyat daripada salah laku kerajaan BN,” katanya lagi. – Roketkini.com