Berita

Pakatan Rakyat Johor lancar badan pemikir

SKUDAI, 15 MEI: Sebuah badan pemikir telah dilancarkan dengan tujuan untuk memainkan peranan dan menyumbang idea-idea kepada Pakatan Rakyat Johor yang melibatkan dasar-dasar yang berfaedah demi memajukan sosio-ekonomi negeri Johor.

Pusat Penyelidikan Pakatan Rakyat Negeri Johor, atau singkatnya JOPREC (Johor Pakatan Rakyat Research Centre), dipimpin oleh Lembaga Pengarah yang ahlinya terdiri daripada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS Sallahuddin Ayub, Timbalan Setiusaha Agung PKR Steven Choong dan Dr Boo Cheng Hau selaku Pengarah Eksekutif.

Pelancaran JOPREC telah dibuat oleh Lim Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP baru-baru ini di Skudai.

NGO ini akan dianggotai oleh beberapa profesional dan ahli akademik yang akan membantu secara sukarela.

Mereka akan menyumbangkan pandangan dan buah fikiran mengikut bidang kepakaran masing-masing berkaitan isu-isu semasa serta berkongsi idea tentang dasar-dasar bersama yang boleh dilaksanakan sebagai persediaan Pakatan Rakyat untuk menjadi sebuah kerajaan.

Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan adalah politik, sosial dan ekonomi. Semua dapatan dari saranan para professional itu akan digarap untuk memastikan idea tersebut boleh dilaksanakan di peringkat negeri.

JOPREC juga akan merangkumi pendekatan-pendekatan inklusif dengan mengadakan bengkel dan juga forum atau dialog terbuka agar kesemua pandangan rakyat dapat disatukan dengan pandangan professional.

Kesemua aspek-aspek yang diberi tumpuan ini juga bertujuan untuk mencapai satu matlamat penting Pakatan Rakyat dalam usaha menjadi sebuah kerajaan yang dinamik dan progresif, di samping penyatuan pelbagai kaum dalam aspek pembangunan sosial dan ekonomi di negeri Johor. – Roketkini.com