Sastera

Terang Bukit Bintang II (akhir) – Hafiz Zainuddin

Bersambung dari Terang Bukit Bintang I 

Satu lagi sebab yang mendorong Syukor nekad mahu ke Kuala Lumpur ialah kerana cinta. Dia bukan sahaja gagal memikat, tetapi juga gagal menarik perhatian walaupun ada paras yang bukan hodoh. Justeru, ia jadi sebab yang baik pada dirinya sendiri untuk keluar dari kampungnya.

Kata Zack, cari cinta di Kuala Lumpur lebih mudah sebab ramai orang, ramah-tamah dan tidaklah segan-segan. “Taklah sampai jual mahal macam anak Pak Mat tu..,” katanya meninggi, teringatkan peristiwa malang bila pinangannya pernah ditolak, sampai terdengar Pak Mat sendiri.

“Orang tak mau hang, janganlah marah, carilah lain… ” sampuk Pak Mat bersahaja.

Lebih-lebih pula sambung Zack, di Kuala Lumpur ada Bukit Bintang, tempat wajib singgah oleh semua pelancong yang datang bertandang. Malulah kalau orang Malaysia sendiri tak pernah datang sana kata Zack. “Boleh try cari awek kat sana, kalau nasib baik, jadilah macam aku. Dapat awek KL asal Kota Bharu.”

Bukit Bintang ramai pelancong, banyak pusat hiburan, banyak gedung beli-belah besar-besar dan macam-macam lagi. Ini juga bermakna, peluang nak kerja ada di mana-mana. Kalau dah bosan, boleh cari kerja lain. Kata Zack lagi, waktu malam di Bukit Bintang meriah macam siang. Tak jauh dari Bukit Bintang ada KLCC, ada menara KL dan macam-macam. Katanya, tempat tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur tak jauh. Boleh jalan kaki, boleh naik LRT. Tidak sama macam seperti di kampung yang bosan. Malam hari sudah lengang kecuali kalau ada ceramah politik.

Untuk hilangkan rasa bosan, itulah sebab Syukor akan ke gerai Pak Mat sahaja. Dapatlah lepas jemu mengadap laut sampai santak Isyak. Kurang-kurang ada juga Anis, anak dara Pak Mat yang sedap-sedap mata memandang. Dulu pernah dipinang  orang, tapi ditolak. Sudah dua kali Anis menolak pinangan orang. Takut kahwin katanya. Salah seorang yang ditolak ialah pinangan Zack temannya sendiri. Mujurlah dia tidak kecil hati, mahu juga menyinggah minum di kedai Pak Mat, bakal pak mentuanya yang tak jadi.

Anis takut kahwin. Itu memang masalah buat Syukor yang sama seperti jejaka lain di kampungnya yang juga pernah memendam cinta pada anak dara 25 tahun itu. Disebabkan Anis takut kahwin dan rela jadi andartu menjaga ayahnya Pak Mat yang sudah duda, harapan Syukor untuk memetik bunga di taman Pak Mat hancur. Anis sendiri pernah memberitahunya dia rela tua dari berkahwin kerana ramai teman-teman Anis dapat suami jahat, kasar, tidak setia dan ramai menganggap isteri umpama barang pakaian saja.

Mengenangkan cinta yang tak berjawab. Memang elok Syukor ke Kuala Lumpur sahaja. Kurang-kurang ada gaji tetap. Turun ke laut memang kerja senang bagi Syukor, tapi, dia berhadapan dengan risiko. Jadi nelayan pertamanya penat, keduanya bahaya, ketiganya tak ada masa depan. Akhirnya, dia akan meninggal seperti bapanya kemudian mewariskan bot nelayannya kepada anak-anak. Jika tak ada waris, terpaksalah diwasiatkan kepada sesiapa atau terbiar buruk mereput.

Syukor pun bukan ada bot besar ke laut dalam. Dia pun bukan anak peraih ikan. Tak ada harta diwariskan arwah ayahnya kecuali sebuah rumah sederhana buat menumpang teduh dan sebuah bot. Apapun yang bakal ditempuhinya. Sekurang-kurang Syukor dapat membuktikan bahawa dirinya berani memulakan hidup baru meninggalkan kerja laut yang dibuatnya sejak hampir sepuluh tahun itu. Tidaklah nanti dia menyesal takut untuk mencuba.

Sejak berusia 15 tahun lagi Syukor diajak bapanya teman ke laut menahan pukat. Kata bapanya, bila sudah pandai menangkap ikan, maknanya sudah pandai mencari makan. Bila sudah pandai mencari makan, tak susah hidup di masa depan.

Namun, apa yang dilalui Syukor tidak memberi apa-apa natijah kepada apa yang dikatakan bapanya. Sudahlah kecundang cinta,  hidupnya terus susah kais pagi makan pagi. Kalau tiba musim tengkujuh, terpaksalah memerap di rumah. Jika tidak disimpan duit awal-awal, terpaksalah beli beras sayur berhutang. Lebih-lebih pula, dia terpaksa menanggung adiknya yang bersekolah itu. Mujur yang belajar di Politeknik dapat pinjaman. Kalau tidak, mungkin Jeferi tak dapat meneruskan pengajiannya.

Ibu Syukor tidak menghalang hasrat anak sulongnya itu berhijrah ke Kuala Lumpur, dia cuma berpesan agar pandai-pandai menjaga diri dan pulang ke kampung jika “tak lupa kat mak”.  Dia tahu dia tidak boleh menghalang anaknya itu untuk berhijrah kerana Syukor juga seperti arwah suaminya sewaktu muda. Malah mereka saling berkenalan sewaktu bekerja di sebuah hotel tersohor di Kuala Lumpur ketika itu sehinggalah berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei yang membawa mereka merantau jauh hingga ke ceruk kampung ini.

“Mak, aku pergi dulu,” Syukor mencium tangan emaknya kemudian berjalan keluar menuju jalan utama. Dari jalan utama dia akan mengambil kereta sapu untuk ke Bandar. Dari situ dia akan mengambil tiket ke Kuala Lumpur, meninggalkan emak dan adiknya, Pak Mat, Anis, meninggalkan harapan jutawan tuala wanita si Zack, meninggalkan bunyi bot dan suara laut yang tak pernah diam, dia menuju Bukit Bintang, cuba-cuba menyabung nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Berkat pesan mak, dia melangkah tenang.-Roketkini.com