Berita

PRK Teluk Intan: Masalah pengangguran perlu jadi agenda utama

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Masalah pengangguran yang sudah lama membelenggu penduduk Teluk Intan perlu menjadi fokus utama kepada Pakatan Rakyat jika ingin mengekalkan kemenangan dalam Pilihanraya Kecil (PRK) akan datang.

Naib Presiden DAP M Kulasegaran berkata, kesukaran peluang pekerjaan menyebabkan penduduk di sana, terutama anak muda dan masyarakat India berhijrah ke bandar yang lebih besar.

“Peluang pekerjaan sangat kurang di Teluk Intan sehingga ramai yang berhijrah. Ini masalah paling utama dan perlu diberikan tumpuan (dalam PRK nanti).

“Harga kelapa sawit dan getah yang turun juga tidak banyak membantu, sedangkan di sini pertanian adalah sumber utama,” katanya ketika dihubungi.

Parlimen Telok Intan mempunyai 60,636 pengundi, 42 peratus daripadanya pengundi Cina, 38% Melayu dan 19% India.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen selama sepenggal di sana menambah, isu itu diburukkan lagi dengan kurangnya sistem pengangkutan awam, antaranya laluan keretapi.

“Tiada apa yang baru di sini. Kalau dulu, ada laluan keretapi yang menghubungkan Teluk Intan dan Tapah. Saya pernah bangkitkan di Parlimen agar laluan ini diadakan semula.

“Supaya ramai orang dapat datang ke sini. Lebih banyak kilang dapat dibuka, seterusnya menambahkan peluang pekerjaan,” katanya.

Landasan keretapi Teluk Intan yang dibina semasa era British menghubungkan pekan itu dengan Tapah. Ia berhenti beroperasi sejak tahun 1991.

Beliau turut menjelaskan beberapa isu tempatan lain yang perlu diberi tumpuan, seperti setinggan, paip bekalan air dan perparitan.

“Ini isu kecil yang ramai terlepas pandang. Ketika hujan lebat, air sungai akan melimpah dan menyebabkan banjir. Paip bekalan air juga masih kurang, termasuk di kawasan pekan.

“Kita sedikit sebanyak sempat memperbaiki masalah-masalah ini dahulu ketika Pakatan menjadi kerajaan negeri selama 11 bulan,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat itu lagi.

PRK Teluk Intan diadakan ekoran kematian Seah Leong Peng daripada DAP. Penamaan calon adalah pada 19 Mei ini, manakala hari mengundi pada 31 Mei. – Roketkini.com