Berita

Serang hak asasi manusia, bukti Najib mahu terus tindas rakyat

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa berhenti dari menuding jari pada orang lain demi menutup pencabulan hak asasi manusia yang dilakukannya.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, tindakan Najib yang mendakwa hak asasi manusia adalah ajaran songsang dan menolak etika serta nilai agama sama sekali tidak boleh diterima.

Menurutnya, hak asasi manusia pada dasarnya merangkumi keadilan, kesaksamaan dan kebebasan adalah perkara asas dalam agama.

“Hanya rejim yang menindas saja mempunyai rasa takui pada hak asasi manusia. Sebagai seorang pemimpin, Najib tidak harus melepaskan tanggungjawabnya dengan menolak hak asasi manusia dan melabelkannya sebagai agenda barat yang mengancam Islam.

“Percubaan mencipta momok dan menuding jari ini jelas bertujuan untuk menutup salah guna kuasa kerajaan pentadbirannya.

“Kebanyakkan cendikiawan Islam sendiri bahawa hak asasi adalah nilai yang baik dan membentuk asas-asas agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika berucap selepas semasa merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-57 di Kuantan, 13 Mei lalu Najib menyatakan, Islam kini diuji dengan satu bentuk ancaman dan serangan baru yang agresif iaitu fahaman humanrightisme.

Beliau mendakwa fahaman itu dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baru dan semakin berkembang pesat di dalam dan luar negara.

“Fahaman humanrightisme ini, rambu dan rencah utamanya adalah berasaskan pemikiran humanisme dan sekularisme serta liberalisme. Ia bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila,” dakwa Najib,.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menegaskan, serangan tidak rasional Najib turut membuktikan bahawa kerajaan BN sememangnya menolak hak asasi sebab itu mereka berterusan menekan rakyat melalui undang-undang menindas.

“Rekod Najib sendiri sangat buruk. Pada tahun 2012, beliau berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan. Namun, dua tahun kemudiaan, undang-undang itu bukan saja masih dipakai malah diguna untuk memerangi musuh-musuh politik,” ujarnya.

Terbaru, katanya, dikenakan terhadap mantan Pengerusi DAP, Karpal Singh; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli.

Selain itu, tambah Zairil, walaupun telah memansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tahanan tanpa bicara masih kekal apabila dua undang-undang baru diwujudkan iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

“Satu lagi masalah hak asasi dibawah pentadbiran Najib adalah rekod buruk kematian dalam tahanan. Sudah lapan kematian dilaporkan setakat ini,” kesalnya. -Roketkini.com