Berita

Kenaikan harga barang akan jadi isu pertama dibawa Dyana ke Parlimen jika menang

TELUK INTAN, 20 MEI: Calon Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud hari ini menyatakan bahawa isu kenaikan harga barang adalah isu pertama akan dibawanya ke Parlimen.

“Jika pengundi Teluk Intan memberikan peluang kepada saya untuk mewakili rakyat Malaysia di Parlimen, isu pertama yang saya akan bentangkan dalam ucapan saya adalah isu harga barang naik,” ujar beliau.

Menurut Dyana, isu kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup jelas merupakan isu paling penting bagi rakyat Teluk Intan, namun ia tidak dipedulikan oleh kerajaan Barisan Nasional dan ia terbukti apabila empat hari lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba mengemukakan alasan untuk mewajarkan peningkatan tarif elektrik.

“Saya menyesali pendirian Perdana Menteri kerana nampaknya keuntungan Tenaga Nasional Bhd adalah lebih penting daripada penderitaan rakyat jelata. Apatah lagi, penyata kewangan TNB menunjukkan secara jelas keuntungan berbilion-bilion setiap tahun sebelum ini.

“TNB mencapai keuntungan bersih RM4.4 bilion pada tahun 2012 dan RM4.6 bilion pada tahun 2013. Adakah keuntungan ini masih tidak mencukupi?” soal Dyana.

Selain itu, beliau mempertikaikan kegagalan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan rasuah sehingga menyebabkan kerugian besar pada rakyat.

Dalam sidang media tadi, Dyana menunjukkan muka depan Utusan Malaysia dan Sinchew Jit Poh hari ini yang melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia baru saja bertindak menyita akaun RM1.5 juta berkenaan penyeludupan diesel bersubsidi.

“RM1.5 juta ini hanya ‘the tip of the iceberg’. Penyeludupan telah berlaku bertahun-tahun tapi tidak pernah diatasi dengan sebarang tindakan keras walaupun pegawai kerajaan sendiri terlibat.

“Penyelewengan dan kerakusan yang berlaku secara meluas dalam pengurusan subsidi bahan api telah menyebabkan bil subsidi meninggi dan beban kerajaan yang berat.

“Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung ketirisan dan kelalaian ini,” ujar beliau dengan kesal. -Roketkini.com