Berita

DAP ucap takziah atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah

ALOR SETAR, 21 MEI – DAP Kedah menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pengerusi Interim DAP Kedah Zairil Khir Johari merakamkan ucapan takziah dalam kenyataan medianya hari ini atas kemangkatan Tunku Annuar pada jam 12.20 pagi tadi.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera turut mengucapkan takziah khusus ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong atas kehilangan adinda tersayang.

“Dalam masa perkabungan ini, kami menasihati para ahli dan juga masyarakat Kedah agar membataskan aktiviti keramaian sebagai tanda penghormatan.”

“Kami juga menzahirkan doa semoga roh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Zairil.

Jenazah almarhum disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar, untuk penghormatan terakhir.

Jenazah dijadual akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas solat Asar.

Bendera negeri, persekutuan, dan lain-lain akan dikibarkan pada separuh tiang di Kedah sepanjang tempoh perkabungan selama tiga hari sehingga 23 Mei.

Tunku Annuar, 75 tahun, mangkat di Ipoh Perak, akibat serangan jantung. – Roketkini.com