Berita

Speaker Dewan kutuk samseng Umno dan Perkasa rempuh sidang DUN

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Dato’ Law Choo Kiang mengutuk sekeras-kerasnya insiden serbuan samseng Umno dan Perkasa ke dalam dewan ketika sidang berlangsung.

Beliau juga mendesak agar polis segera menyiasat insiden memalukan itu agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Saya ingin mengutuk sekeras-kerasnya dan menyatakan kekecewaan saya di atas insiden pecah masuk beberapa perusuh ke dalam Dewan tadi. Perkara ini tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negeri, malah mencemarkan sejarah politik negara.

“Saya dengan tegas mahu insiden ini disiasat segera oleh polis demi memastikan keselamatan perjalanan sidang DUN akan terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Sebentar tadi, sekumpulan samseng Umno dan Perkasa Pulau Pinang menyerbu masuk ke dalam DUN, menyebabkan sidang tergendala.

Kumpulan itu termasuk Mohamed Gani Abd Jiman atau lebih dikenali sebagai ‘Gani Komtar’, yang terkenal dengan hadiah ‘kek tahi’ kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Bukit Tambun itu juga menggesa polis mengadakan kawalan keselamatan di pintu masuk bangunan DUN serta-merta sehingga sidang berakhir.

“Masih ada ruang yang lebih beradab untuk menyatakan rasa tidak puas hati atas sesuatu isu daripada tindakan kasar yang mencemarkan kemuliaan Dewan dan jelas melanggar undang-undang,” katanya lagi. – Roketkini.com