Berita

PRK Teluk Intan: Gunakan sekolah untuk kempen, BN langgar undang-undang

TELUK INTAN, 21 MEI: Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua hari ini menyelar tindakan UMNO-BN yang menggunakan kawasan sekolah sebagai tempat ceramah mereka semalam.

Beliau berkata, tindakan itu sangat mengejutkan kerana UMNO-BN sering kali mencanangkan bahawa mereka berpegang teguh pada prinsip sekolah tidak boleh dipolitikkan.

“DAP menganggap perkara ini sebagai peraturan dan tidak boleh dilanggar sama sekali, tapi malangnya UMNO telah melanggarnya dan berbuat sesuka hati mereka.

“Alasan yang diberikan pihak mereka adalah sudah bayar sewa RM500, telah meminta kebenaran, dan tidak ada tempat lain untuk berkempen di kawasan Selabak, Teluk Intan,” katanya dalam sidang media sebelum merasmikan Pusat Operasi DAP Pekan Baru.

Pengarah Pilihanraya DAP PRK Teluk Intan itu meminta agar DAP juga dibenarkan menggunakan kemudahan sedemikian jika tiada peraturan yang menghalang.

“Kami juga tidak mempunyai tempat untuk berceramah di Kampung Selabak. Kalau mereka boleh gunakan sekolah, kami juga sepatutnya diberikan tempat sama.

“Keadilan dan kesaksamaan harus diberikan kepada kedua-dua belah pihak.

“DAP sanggup membayar sewa, lebih tinggi daripada RM500 pun tidak mengapa,” ujarnya.

Pemuda PAS semalam telah membuat laporan polis berhubung tindakan BN menyalahgunakan premis awam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak bagi tujuan berkempen dalam PRK Teluk Intan.

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan itu adalah bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Seksyen 24 b (7) yang melarang menggunakan premis awam untuk tujuan kempen. – Roketkini.com