Berita

Dyana ucap takziah kepada rahib, akan bawa isu keselamatan ke Parlimen jika menang

TELUK INTAN, 21 MEI: Calon DAP Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacitanya atas kematian Rahib Juliana Lim, 69 tahun semalam, ekoran kecederaan daripada serangan ragut di Church of Visitation, Seremban.

Beliau juga berharap jenayah yang diklasifikasikan polis sebagai kes bunuh itu akan diselesaikan secepat mungkin, demi menegakkan keadilan kepada mendiang.

“Saya mengucapkan takziah kepada rakan dan keluarga Sister Juliana Lim yang meninggal dunia akibat kecederaan daripada kes ragut itu. Semoga jenayah kejam ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya episod buruk ini dapat diakhiri dengan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Julia disahkan meninggal dunia pada jam 3.25 petang semalam di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Julia menerima rawatan di sana selepas beliau dan kawannya, Rahib Marie Rose Teng, 79, cedera diserang dengan topi keledar dan disamun dalam satu kejadian awal pagi 14 Mei lalu, di hadapan pintu gereja itu.

Dyana berkata, jenayah ganas itu menandakan betapa seriusnya masalah keselamatan di Malaysia serta menekankan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCM) bagi meningkatkan keberkesanan badan itu.

“Berdasarkan tinjauan DAP dua minggu lalu di Teluk Intan, ‘jenayah dan masalah sosial’ adalah masalah kedua terpenting yang dibangkitkan.

“Maka saya ingin mengulangi desakan parti agar polis memperbaiki tahap profesionalisme dan keberkesanan mereka mencegah jenayah. Walaupun ada 120,000 anggota, kurang daripada 10,000 yang ditugaskan mencegah jenayah.

“Ironinya, bilangan pegawai Unit Cawangan Khas (SB) pula, yang kononnya untuk ‘melindungi’ ahli politik seperti saya, hampir sama dengan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya.

Katanya lagi, perlu ada perubahan dalam peruntukan tugas anggota polis, yang sebahagian besar kini, iaitu 40 peratus ditempatkan dalam tugas pengurusan, pentadbiran dan logistik, manakala 30 peratus lagi untuk pasukan keselamatan seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau juga menyatakan komitmennya kepada pengundi Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan bahawa akan membawa isu keselamatan, terutamanya penubuhan IPCMC, ke Parlimen, bagi memastikan kecekapan dan integriti polis dapat ditingkatkan demi melindungi rakyat seluruhnya.

Pada tahun 2005, Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pentadbiran PDRM mencadangkan 125 langkah, termasuk IPCMC kepada kerajaan, namun sehingga kini ia masih belum diwujudkan. – Roketkini.com