Berita

Rusuhan Pemuda Umno: DAP buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 22 MEI: DAP membuat laporan polis sejurus selepas rusuhan Pemuda Umno di hadapan ibu pejabat parti itu petang tadi.

Laporan dibuat Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming dan diiringi beberapa staf ibu pejabat di Balai Polis Pudu, kata Pegawai Komunikasi dan Media DAP Medaline Chang.

Kian Ming dalam kenyataannya sebelum itu menyifatkan rusuhan itu sebagai tidak bertamadun kerana berbaur ugutan serta merosakkan harta benda.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun dan mengugut oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan (WP).

“Kami menyokong hak mana-mana kumpulan untuk mengadakan perhimpunan aman, namun kelakuan mereka sama sekali tidak boleh diterima. Bukan sahaja mereka memaki-hamun saya dan pegawai lain, mereka juga memusnahkan papan tanda DAP dan mengugut untuk membakar pejabat kami.

“Mereka tidak menghantar pun memorandum kepada saya, namun mengoyakkannya dan melemparnya kepada muka saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Rusuhan itu bermula kira-kira tiga petang tadi, apabila lebih 50 ahli Umno, diketuai Ketua Pemuda Umno WP Mohd Razlan Muhamad Rafii berarak sambil melaungkan ‘hidup Melayu’ dan ‘hancur DAP’.

Mohd Razlan juga mengugut untuk membakar ibu pejabat DAP apabila berkata, “Kalau mereka boleh kata kita celaka, apa salahnya kalau kita bakar bangunan ini,” sambil disambut sorakan yang lain.

Sehubungan itu, Dr. Ong mendesak Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk memohon maaf di atas kelakuan ahli-ahlinya.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada polis kerana mengekalkan keamanan dan keselamatan ketika rusuhan dan berhadapan dengan provokasi oleh sebahagian daripada perusuh,” katanya lagi.

Rusuhan itu adalah susulan daripada pencerobohan sekumpulan Pemuda Umno Pulau Pinang ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sana, ekoran tidak berpuas hati dengan kenyataan ‘Umno celaka’ oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer. – Roketkini.com