Berita

Serbuan DUN P Pinang: Polis perlu ambil tindakan segera

KUALA LUMPUR, 22 MEI: DAP mengecam tindakan sekumpulan samseng Umno yang bertindak biadap menceroboh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam dan mendesak polis mengambil tindakan segera terhadap mereka.

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata, ini kerana ia bukanlah kali pertama insiden seumpama itu berlaku dan pasti akan berulang pada masa akan datang jika tiada tindakan tegas yang diambil.

“Pada Februari 2009, mendiang Karpal Singh pernah didatangi sekumpulan pemuda Umno di Parlimen, yang hampir-hampir mencetuskan pergaduhan. Kita perlu serius jika tidak ingin peristiwa seperti ini berulang lagi.

“Wakil rakyat berhak menpadat jaminan yang mereka boleh bersuara di Dewan tanpa takut dan pilih kasih,” katanya lagi dalam satu kenyataan.

Pada 26 Februari 2009, sekumpulan Pemuda Umno Selangor menghalang Karpal daripada memasuki Parlimen, sehingga terjadi ketegangan yang hampir menyebabkan pergaduhan fizikal.

Semalam, sekumpulan samseng Umno menyerbu masuk DUN Pulau Pinang, menyebabkan persidangan yang sedang berlangsung terpaksa dihentikan.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, tindakan samseng itu adalah satu serangan kepada demokrasi, yang berasaskan perbahasan intelektual dan menolak sebarang unsur keganasan.

“Ini adalah tindakan orang yang tidak menghormati proses demokrasi. Jika ada salah laku oleh mana-mana wakil rakyat, laporan boleh dibuat dan jika beliau didapati menyalahgunakan keistimewaannya, Dewan boleh mengambil tindakan.

“Namun untuk mengambil jalan samseng ini adalah sesuatu yang mengaibkan dan tidak boleh diterima.

“Serangan ke atas DUN ataupun Parlimen adalah sama dengan serangan ke atas demokrasi itu sendiri. Kita tidak boleh membenarkannya berlalu tanpa hukuman yang berat,” katanya lagi. – Roketkini.com