Berita

Usul tergempar kutuk rusuhan terhadap DUN P.Pinang

GEORGE TOWN, 22 MEI – Sebuah usul tergempar mengecam tindakan sekumpulan perusuh yang menyerang bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah dibentangkan Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang semalam, sekumpulan samseng yang mengaku daripada UMNO bertindak liar dan didakwa menjatuhkan dan cuba merosakkan bendera Malaysia dan Negeri Pulau Pinang; merosakkan harta benda Dewan serta mengugut keselamatan dan nyawa Ahli-Ahli Dewan serta pegawai-pegawai DUN.

“DUN Pulau Pinang mengecam dengan sekeras-kerasnya UMNO Pulau Pinang kerana bertindak tidak bertanggungjawab dengan memimpin kumpulan perusuh dan samseng UMNO ini yang menghina kemuliaan institusi DUN yang terunggul dalam Perlembagaan Negeri serta kedaulatan Malaysia dan Negeri Pulau Pinang.

“Demi membuktikan bahawa UMNO bukanlah perosak negara, maka YB Ketua Pembangkang seharusnya memohon maaf kepada Dewan yang mulia ini,” teks usul tersebut dipetik.

Guan Eng turut menyatakan rasa kesal dengan serangan tersebut yang disifatkannya sebagai satu titik hitam yang mencemarkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan, serta nyawa ADUN Seri Delima RSN Rayer yang diancam kumpulan samseng UMNO terbabit.

Usul tersebut turut menggesa supaya pihak berkuasa mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan DUN selain melaksanakan siasatan segera supaya samseng-samseng UMNO tersebut dihadapkan ke mahkamah kerana menghina kemudian Dewan.

Sebuah jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan, dengan turut dianggotai Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid, ADUN Telok Air Tawar, untuk menyediakan laporan khas berkenaan tragedi tersebut.

Kumpulan perusuh tersebut dilaporkan diketuai pemimpin Pemuda UMNO Tasek Gelugor serta beberapa personaliti Perkasa Pulau Pinang yang giat menjalankan demonstrasi terhadap kerajaan negeri sejak, termasuk kejadian menghantar kek berbentuk najis kepada Ketua Menteri tidak lama dulu.

Kumpulan itu tidak berpuas hati dengan ucapan ADUN Seri Delima yang didakwa menyifatkan UMNO sebagai ‘celaka’ ketika berucap di sidang Dewan terbabit. – Roketkini.com