Rencana

Si Luncai terjun gaya bebas

Oleh Aishah 

Biarkan… biarkan… si Luncai terjun dengan labu-labunya. Si luncai yang dilihat sebagai hamba yang hina mampu menyelamatkan diri daripada penguasa yang zalim. Si Luncai menunjukkan bahawa rakyat yang cerdik tidak mudah ditindas. Si Luncai menegaskan kebijaksanaan adalah kunci untuk keluar daripada kitaran pembodohan. Rakyat Malaysia juga cerdik dan mampu menilai sendiri pemimpin yang bakal dipilih atau ditolak.

Baru-baru ini, kisah Dyana Sofya mengambil tempat dalam perkembangan sosiopolitik Malaysia dengan adanya Pilihanraya Kecil di Teluk Intan. Tidak mahu kalah dengan sensasi yang ditimbulkan anak kepada pendukung UMNO, ibu Yammy ini, ISMA turut keluar dengan pelbagai kenyataan mengajak umat Islam untuk menutup aurat dan memelihara kerukunan bangsa Melayu. Media juga sehingga ke hari ini tidak lepas daripada menuangkan tulisan yang berkisar antaranya soal ISMA, rasisme, Islam, aurat.

Banyak perkara yang dapat kita insafi daripada ISMA ini dan ia bukan soal bikini Dyana Sofya atau gambar makan malamnya bersama Ibrahim Ali. Pemakaian tudung bukanlah isu yang menindas rata-rata kaum Melayu (dan rakyat Malaysia umumnya) tetapi isu mendesak ialah korupsi dan politik wang.

Kita boleh terus bermain dalam permainan sama yang ingin dibawa pihak UMNO-BN, tetapi ini tindakan sia-sia. Respons yang seharusnya diberikan bukan dengan menjadi polis moral terhadap pemimpin UMNO yang juga tidak memakai tudung dan puteri-puteri yang memakai setengah-setengah.

Louisa Wall, ahli Parlimen New Zealand, adalah seorang lesbian, manakala ahli parlimen di Itali terdiri daripada 5 orang lesbian, gay, bisexual dan transgender. Sementara di Malaysia, kita mempunyai Syahrizat dengan tudung merahnya, tetapi apakah ini menghalangnya daripada terlibat dalam skandal NFC? Apakah remaja yang memakai tudung, anak kecil yang masih mumaiyiz, nenek yang mengenakan anak tudung tidak menjadikan mereka ini mangsa rogol?

Kita terperangkap dalam isu singkat-labuhnya tudung, mengangkat kain – menyinsing lengan, menara condong menjadi tegak dan sebagainya.

Isu yang wajar disegarkan kembali adalah kegagalan pentadbiran Barisan Nasional sepanjang lebih 50 tahun membangunkan Malaysia dari segi jaring keselamatan sosial (social safety net). Rakyat tidak perlu diingatkan tentang perpaduan dan kepelbagaian kaum yang sedia ada dan semakin baik di Malaysia, di samping cubaan-cubaan mencetuskan rusuhan dan sensitiviti kaum.

Ahli politik sering menggunakan skrip lama seperti peristiwa 13 Mei 1969, segmentasi kaum di institut pengajian tinggi awam, sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular. Tetapi mereka jarang memperhatikan bahawa di kebanyakan tempat kerja ada komposisi tiga atau lebih kaum, himpunan BERSIH menunjukkan kehadiran kaum yang seimbang, manakala perarakan kepala lembu dan tempat ibadat yang sengaja dicemarkan dengan kepada babi bukan hanya menyentuh kaum tertentu tetapi turut mendorong rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati.

Skrip perpaduan kaum adalah skrip politik yang lama sebagai ilusi bahawa Malaysia tidak rukun kerana pada akhirnya ia bukanlah isu perkauman melainkan isu kemanusiaan. Kehadiran golongan ISMA, PERKASA, ILMU dalam hal ini setidaknya membuka mata dan menjentik kesedaran kita bahawa di Malaysia, terdapat lebih daripada 3 golongan yang masih lagi berfikiran primordial dan mengamalkan politik parokial.

Isu yang ingin dibawa artikel ini bukanlah berkempen untuk PRK yang sedang berlangsung dan hanya memakan tempoh sementara tetapi untuk mengajak kita dan semua berfikir tentang masa depan Malaysia.

Masa depan Malaysia bukan ditentukan oleh sebilangan orang yang dipilih (atau dilantik?) sebagai ahli politik – yang melebihkan kepentingan parti berbanding massa yang seharusnya diwakilinya. Jatuh bangun Malaysia, terbela atau tidaknya Pak Mat yang menjual tebu tanpa lesen, makcik yang bersengkang mata menjahit baju demi anaknya (bukan sahaja dalam iklan Petronas!), Ah Keong yang ditentang keluarga berkahwin dengan anak Mak Dara, Philip Jau dan Peter Kallang dengan empangan Baram, dan Abdullah Ram yang masih keliru dengan identiti yang harus ditanda di setiap borang – semua ini memerlukan penglibatan aktif rakyat, bukan bergantung pada kerajaan yang menunggu gaji setiap hujung bulan, selain sangat mahir menyalahgunakan maksud peribahasa “menggigit tangan yang memberinya makan” dan “kacang lupakan kulit.”

Izinkan saya akhiri rencana ini dengan lirik lagu M. Nasir:

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini
Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri
Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang
Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya
Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan
Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka
Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi
Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi
Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu

– M Nasir, “Anak-Anak Kita”