Berita

‘Terima kasih, ini bukan perjalanan mudah’ – Ramkarpal

GEORGE TOWN, 26 MEI: Ramkarpal Singh menyifatkan perjalanan sepanjang Pilihanraya Kecil (Bukit Gelugor) dua minggu ini penuh cabaran, memandangkan ini pilihanraya pertama beliau.

“Ini adalah pilihanraya pertama saya. Ia bukanlah perjalanan yang mudah,” katanya dalam sidang media selepas pengisytiharan kemenangannya di Dewan Sri Pinang, semalam.

Beliau juga memberikan penghargaan kepada semua yang berusaha keras memastikan kemenangannya – keluarga, pimpinan DAP dan semua penyokong.

Beliau menang bergaya dalam PRK Bukit Gelugor dengan majoriti 37,659 undi dan menyebabkan calon-calon lain hilang deposit.

Keputusan itu tidak jauh berbeza dengan mendiang ayahnya, yang meraih majoriti 41,778 undi pada Pilihanraya Umum yang lalu.

Sorakan gemuruh menyambut beliau sebaik keluar sari dewan oleh penyokong yang setia menunggu di luar – meskipun dalam keadaan hujan lebat.

Dalam sidang media sama, Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan keputusan semalam sebagai tanda sokongan besar pengundi kepada Ramkarpal dan Pakatan Rakyat.

“Tiga calon lain hilang deposit. Ini menunjukkan sokongan besar rakyat kepadanya dan Pakatan.

“Beliau pasti akan menjadi Ahli Parlimen yang baik bukan sekadar kepada 90 peratus (yang mengundinya) tetapi 100 peratus (pengundi Bukit Gelugor),” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan, majlis angkat sumpah akan dijalankan 9 Jun ini di Dewan Rakyat. – Roketkini.com