Berita

Ibu yang bekas ahli Perkasa, bukan Dyana. Apa masalahnya?

TELUK INTAN, 28 MEI: Dakwaan parti Gerakan bahawa Dyana berbohong tentang hubungannya dengan Perkasa  diselar Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching yang menyuruh parti tersebut  menyemak fakta terlebih dahulu.

Calon DAP bagi PRK Teluk Intan Dyana Sofya telah pun  memberitahu dalam sidang media satu minggu lalu bahawa beliau tiada kena mengena  dengan pertubuhan ultra-Melayu, Perkasa.

“Dalam sidang media semalam, ibu Dyana, Yammy Samat, turut mengulangi bahawa beliau  meninggalkan Perkasa sebelum mesyuarat agung pertama pertubuhan itu,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini.

Puan Yammy turut menegaskan semalam bahawa beliau sudah lama tidak bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan terbabit.

“Ketika ditanya sama ada ibunya memegang jawatan dalam perkasa dalam sidang media 21 Mei, Dyana berkata beliau tidak tahu dan berkata lebih baik (media) bertanya kepada ibunya  sendiri,” tambah Nie ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Malahan kata Nie Ching, setelah membesar dalam keluarga UMNO, Dyana tetap membuat  keputusan untuk menyertai DAP.

“Ini memperlihatkan bahawa Dyana benar-benar tidak bersetuju dengan prinsip mereka. Jadi kenapa perkaitan ibunya dengan Perkasa atau mana-mana organisasi dijadikan isu?” tambah beliau lagi.

Nie Ching turut menempelak Gerakan dan Barisan Nasional yang menuduh Dyana berbohong, walhal mereka sendiri gagal menunaikan janji dalam pilihanraya yang lalu termasuk menurunkan harga kereta, membina rumah mampu milik dan mengurangkan kadar tol.

“Jika BN gagal melaksanakan manifesto PRU ke-13, apa jaminan calon BN Mah Siew Keong  akan mengotakan janjinya kali ini?” soal Nie Ching.

PRK Teluk Intan bakal berlangsung Sabtu ini. Dyana berhadapan Presiden parti gerakan, Datuk Mah Siew Keong. – Roketkini.com