Rencana

Surat Terbuka kepada Pengundi Teluk Intan

Oleh Lim Guang Eng

BN dan UMNO menguruskan pilihanraya Teluk Intan dengan cara yang sama mereka menguruskan negara, dengan menakut-nakutkan rakyat dan menggunakan pembohongan, kata makian dan kebencian. Cubaan mencemarkan peribadi calon wanita muda kami, Dyana Sofya, dan juga ibunya, jelas menunjukkan BN dan UMNO telah hilang mandat untuk mentadbir dan hilang hak untuk mewakili rakyat Teluk Intan.

BN hanya tahu menyebarkan kebencian kerana itu saja yang dapat menghalalkan rasuah dan salahguna kuasa yang mereka lakukan. BN hanya tahu menakut-nakutkan rakyat demi menutup kesilapan mereka dalam menguruskan ekonomi dan mengakibatkan fenomena Barang Naik, termasuk kenaikan harga petrol, gula, elektrik, insurans kenderaan serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

BN tidak memberi tumpuan kepada 1Malaysia, sebaliknya ia membiarkan 1MDB membuat pelaburan berisiko melibatkan puluhan bilion ringgit dana rakyat hanya untuk kepentingan kroni. BN tidak peduli untuk menangani kesengsaraan rakyat Malaysia akibat kenaikan harga barang, sebaliknya rakyat disuruh makan kangkung. BN tidak melakukan sesuatu untuk meningkatkan pendapatan rakyat, sebaliknya lebih banyak pula pekerja asing dibawa masuk. Hidup rakyat Malaysia tidak terbela, sebaliknya Tenaga Nasional Berhad pula dinaikkan darjat dengan kenaikan tarif elektrik agar bertambah keuntungan dan nilai sahamnya.

Pakatan Rakyat mampu menyelesaikan masalah rakyat seandainya ia memenangi Putrajaya. Pakatan telah membuktikan kemampuannya di Pulau Pinang dan ia mampu melakukan yang lebih baik di peringkat nasional. Di Pulau Pinang, kerajaan Pakatan membantu warga emas, ibu tunggal, mahasiswa, orang kurang upaya, ibu-ibu tidak bekerja, pemandu teksi, nelayan, serta menangani masalah kekurangan rawatan dialisis dan memperbaiki prasarana sekolah demi meningkatkan mutu pendidikan.

BN dan UMNO sudah habis akal dan tiada alasan lagi untuk menerangkan kenapa slogan 1Malaysia sudah tidak lagi kedengaran. Sebabnya mudah sahaja. Ini semua angkara sebuah lohong hitam bernama 1MDB yang menelan puluhan bilion ringgit duit rakyat dalam pelaburan berisiko oleh mereka yang diragui kepakarannya, hanya untuk memperkaya kroni.

Tidak banyak orang percaya dengan slogan 1Malaysia sewaktu ia dilaungkan dulu, apatah lagi kini apabila slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dipintas oleh pelampau kaum dan agama yang menyebarkan kebencian dan keganasan. Masanya telah tiba untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu menuju keadaan di mana pemimpin Melayu menjaga masyarakat bukan-Melayu dan pemimpin bukan-Melayu menjaga masyarakat Melayu.

Teluk Intan adalah langkah pertama kita menuju Putrajaya pada tahun 2017 nanti demi meletakkan noktah kepada perpecahan dan politik perkauman yang dibawa oleh BN.

BN sudah tidak ada alasan. Di bawah BN, harapan dan masa depan yang cerah hanya dijanjikan untuk anak-anak pemimpin BN dan kroni mereka.

BN tidak peduli tentang kelangsungan hidup anda yang akan terkesan akibat kenaikan harga barang dan GST. BN tidak peduli masa depan yang memberi peluang saksama yang anda mahukan untuk anak-anak anda dalam sebuah negara Malaysia yang aman daripada ancaman jenayah.

Tiada harapan mahupun masa depan untuk kita di bawah BN. Undilah Pakatan Rakyat dan calon DAP Dyana Sofya demi mempertahankan harapan dan masa depan bersama!

LIM GUAN ENG