Berita

Lagi taktik samseng UMNO-BN, paksa ahli DAP keluar parti

TELUK INTAN, 29 MEI: Shantini a/p Subramaniam hari ini menafikan sepenuhnya laporan pelbagai portal bahawa beliau telah keluar dari
DAP.

Hadir dalam sidang media di Pusat Operasi DAP PRK Teluk Intan petang tadi, beliau menegaskan tidak pernah keluar parti tapi telah dipaksa dan ditipu oleh beberapa orang ahli BN dalam sebuah majlis, dua hari lalu.

Menurutnya, beliau langsung tidak mengetahui mengapa dan untuk apa dirinya dijemput ke majlis di Taman Desa Bakti itu.

“Saya telah dipanggil untuk datang ke ceramah dan mereka kata akan ada pemberian hamper.

“Sesampainya saya di sana bersama enam orang kenalan lain, mereka menyuruh saya duduk dan memaksa supaya memakai baju BN.

“Saya tolak, tapi disebabkan ramai ahli BN berada di sekeliling, kerana takut, saya memakainya,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar.

27 Mei lalu, beberapa portal telah melaporkan seramai 150 orang ahli DAP di sini telah keluar dari parti dan menyertai BN dalam satu majlis yang dihadiri Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan serta Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy.

Salah seorang dari mereka, iaitu Shantini, telah diarahkan supaya meletakkan bendera DAP ke bawah sebagai simbolik meninggalkan parti.

Mengulas lanjut, Shantini menyatakan tindakannya dua hari lalu bukan kerana kemahuan hati tapi akibat diugut dan dipaksa oleh pimpinan BN.

“Sebelum itu, saya dipanggil masuk ke dalam khemah dan mereka katakan bahawa Mah Siew Keong akan datang.

“Secara tiba-tiba ramai wartawan telah berada di luar, mereka terus meminta saya meletakkan bendera DAP dan mengangkat bendera BN.

“Selepas itu mereka menyuruh saya keluarkan kad keahlian DAP untuk dipatahkan,” ujarnya. – Roketkini.com