Berita

Dyana lancar buku sulung bertajuk ‘Di sini Bermula’

TELUK INTAN, 29 MEI: Tidak seperti biasa, ceramah Pakatan Rakyat malam ini menampilkan kelainan apabila turut menjadi pentas pelancaran buku sulung calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, bertajuk ‘Di sini Bermula’.

Buku itu dilancarkan Dyana sendiri dengan diiringi pimpinan Pakatan Rakyat, antaranya Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dari PKR Rashid Hasnon.

Dalam ucapan ringkas selepas pelancaran, Kit Siang menyatakan kekagumannya terhadap Dyana yang berjaya menerbitkan buku pertama seawal usia 27 tahun.

“Buku pertama saya, ‘Time Bombs in Malaysia’ terbit pada tahun 1978, ketika saya berusia 37 tahun. Namun, Dyana berjaya terbitkan pada umur 27 tahun,” katanya bangga.

Beliau juga menyifatkan buku itu pasti akan menyangkal tohmahan Barisan Nasional bahawa Dyana adalah ‘boneka’ semata-mata.

“Mereka kata Dyana ini boneka, alat dan tiada fikiran sendiri…Saya kata beliau adalah 3B – brain, beauty, bravery (bijak, cantik, berani),” katanya lagi.

Buku tersebut menampilkan kumpulan tulisan Dyana yang disiarkan pelbagai media sebelum ini.

Dalam pada itu, Dyana menyatakan penghargaannya kepada Kit Siang yang tanpa henti mendorong beliau untuk menyampaikan buah fikiran dalam bentuk tulisan.

“Ketika awal berkhidmat (sebagai setiausaha politik Kit Siang), mentor saya selalu kata, ‘awak perlu mula menulis, perlu terus menulis’.

“Jadi, saya tujukan buku ini kepada beliau yang sentiasa mendorong saya. Buku ini adalah tulisan seikhlas hati saya,” katanya lagi. – Roketkini.com