Berita

PRK Teluk Intan: BN sogok rakyat dengan hamper, DAP gesa SPR segera lakukan siasatan

TELUK INTAN, 29 MEI: DAP hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyiasat dan menahan sesiapa saja yang telah melakukan kesalahan serta melanggar undang-undang pilihanraya seperti ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pasir Bedamar Terence Naidu berkata, gesaan itu dibuat berikutan kejadian semalam yang menunjukkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong telah memberikan hamper makanan kepada keluarga miskin yang menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Semalam, 28 Mei, kira-kira jam 5.26 petang, saya bersama ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran telah tiba di Jalan Laksamana selepas menerima panggilan daripada seorang penduduk yang bimbang apabila melihat Mah, beberapa ahli BN dan penyokong menyogok hamper makanan kepada penduduk.

“Kami dengan jelas dapat mendengar pengacara menggesa orang ramai untuk mengundi Mah, sebelum beliau berhenti apabila Rajiv mengeluarkan telefonnya untuk merakam acara itu.

“Dalam kes ini, BN dan Mah sendiri telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya tahun 1954 dan seksyen berikutnya kerana merasuah untuk mendapat undi,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi DAP PRK Teluk Intan.

Mengikut Seksyen 10 Kesalahan Pilihanraya dengan jelas menyatakan bahawa “tiap-tiap orang yang secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana pihak memberikan ganjaran untuk mendapatkan undi mana-mana pemilih atau pengundi dalam sesuatu pilihanraya dianggap melakukan perbuatan rasuah.

Terence berkata lagi, kes ini bukan baru kerana minggu lalu, Mah dan sekutunya juga telah melakukan perbuatan sama.

“Antara kes lain adalah seperti laporan bahawa Ketua Wanita UMNO Datuk Shahrizat Jalil yang memberikan setiap seorang ibu tunggal di Teluk Intan RM500 dan pelbagai bahan bekalan sebagai balasan mengundi,” tegasnya. – Roketkini.com