Berita

BN terdesak, elak jawab isu tetapi serang peribadi Dyana

TELUK INTAN, 29 MEI – Barisan Nasional (BN) disaran untuk berkempen secara terhormat dan menjawab isu serta permasalahan rakyat, bukannya berpolitik
secara jijik dengan menyerang peribadi calon DAP di Teluk Intan, Dyana Sofya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini mengulas serangan-serangan peribadi oleh pemimpin-pemimpin BN yang disifatkannya sebagai
usaha untuk mengelak daripada menjawab isu-isu yang lebih penting.

“Adakah BN begitu terdesak sekali sehingga sanggup merendahkan maruah mereka sendiri ke tahap sedemikian demi mengelak daripada terpaksa menjelaskan isu kenaikan harga gula, petrol, elektrik dan insuran kenderaan, termasuk isu gangsterisme dalam kalangan ahli UMNO,” soal Guan Eng.

“Dengan menggunakan taktik yang tidak jujur ini, BN telah menunjukkan yang mereka tidak lagi layak untuk mentadbir Malaysia,” kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi.

“Menang bermartabat, atau kalah terhormat; BN seharusnya menangani isu dan bukannya menghina diri dengan melakukan pembunuhan karakter terhadap seorang anak gadis,” ujar beliau.

BN dalam kempennya menghujani Dyana dengan serangan-serangan peribadi sejak sebelum penamaan calon lagi.

Daripada mempersoalkan kelayakan beliau sebagai seorang peguam, sehinggalah kepada hal rupa parasnya termasuk fitnah memakai bikini, Guan Eng berkata tahap kebencian dan politik jijik ini belum pernah dilihat dalam mana-mana pilihanraya kecil.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, serangan peribadi paling teruk datang daripada Pemuda Gerakan Pulau Pinang.

“Dyana Sofya diejek kerana terlalu bergantung kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang, malah Gerakan berkata bahawa jika Dyana menangis tanpa kehadiran Kit Siang, Dyana boleh dapatkan puting dari Gerakan. Ini sangat memualkan!” tambahnya.