Berita

Pakatan gesa kaji semula bidang kuasa Sultan dalam RUU perumahan dan hartanah Johor

JOHOR BAHRU, 5 JUN: Pakatan Rakyat Johor menggesa kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pilihan bagi mengkaji semula Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskannya.

Berucap dalam sidang DUN 1 Jun lalu, Ketua Pembangkang Boo Chen Hau berkata RUU itu perlu dikaji semula kerana dibimbangi ia akan menambah beban tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

“Tanggungjawab mentadbir perlu menurut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri, iaitu terletak di atas bahu Menteri Besar dan Majlis Kerajaan. Ini termasuk soal pelantikan dan pembatalan jawatan ahli dan pegawai lembaga perumahan dan hartanah.

“Seksyen 43(1) wajar dikaji semula di mana pembubaran lembaga sepatutnya diluluskan oleh Dewan yang mulia ini memandangkan ia wujud dengan kelulusan dewan.

“(Enakmen itu yang memberi kuasa) melantik dan membatalkan jawatan pegawai dan menentukan saraan ahli-ahli lembaga dalam semua klausa enakmen itu akhirnya membebankan Duli Yang Maha Mulia Sultan,” katanya lagi

Menjelas lanjut, Adun Skudai itu berkata, pindaan dalam RUU Air 2014 yang menukarkan istilah kuasa kerajaan negeri daripada ‘Ruler in Council’ dan ‘His Highness the Sultan in Council’ kepada ‘the State Authority’ (pihak berkuasa negeri) lebih menepati undang-undang Perlembagaan selepas Merdeka.

Mesyuarat DUN Johor ke-13 dijangka membentangkan RUU baru Isnin ini bagi membentuk satu lembaga perumahan dan hartanah yang memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk membubarkan lembaga, melantik ahli lembaga dan menyelia akaunnya.

Sebagai perbandingan, Selangor dan Pulau Pinang juga mempunyai enakmen yang sama, namun tidak menetapkan peranan berkenaan ke atas Ketua Negeri (Sultan). – Roketkini.com